top of page

Tangguh haji, umrah kerana PRK tidak penuhi kaedah syarie, maslahah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 3 hours ago
  • 2 min read


Oleh: Helmi Mohd Foad


Penangguhan ibadah haji dan umrah atas alasan dan hujah politik dalam konteks Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak memenuhi piawaian syar‘ie dari sudut hukum qiyas mahupun maslahah, demikian menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf Rawa.


Ahli Dewan Negara itu berkata, hujah pihak tertentu bahawa penangguhan ibadat tersebut kononnya bagi "memenangkan Islam lebih utama" dengan membuat perbandingan penangguhan umrah dalam Perjanjian Hudaibiyah pada tahun keenam hijrah tidak mempunyai justifikasi "illah" (sebab) yang sama dengan situasi PRK.


"Peristiwa Hudaibiyah adalah strategi syarie Nabi Muhammad s.a.w untuk mengelakkan pertumpahan darah serta membuka ruang dakwah yang lebih besar.


"Namun, untuk menggunakan qiyas terhadap situasi PRK dengan merujuk kepada asal hukum dalam peristiwa Hudaibiyah, usaha ini gagal memenuhi syarat justifikasi i'llah yang sama.


"Dalam kes Hudaibiyah, penangguhan dilakukan bagi mengelakkan kemudaratan nyawa dan membuka jalan perdamaian supaya Islam dapat dikembangkan pada masa Islam masih di peringkat tahun keenam hijrah," katanya dalam kenyataan.


Laporan media sebelum ini memetik Presiden Pas Hj Hadi Awang dalam ceramah kempen PRK Air Kuning, Tapah, Perak dipetik sebagai berkata Nabi Muhammad "mengutamakan kemenangan politik" dengan menangguhkan ibadah haji dan umrah.


Ucapan Ahli Parlimen Marang itu disampaikan dalam konteks umat Islam berdepan PRK ketika pergerakan jemaah haji mula berlepas ke Tanah Suci Mekah pada 29 April ini.


Hari pengundian PRK Air Kuning dijadual pada 26 April ini (Sabtu) melibatkan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Mohamad Yusri Bakir menentangkan calon Perikatan Nasional, Abdul Muhaimin Abdul Malek dan K. Bawani (PSM).


PRK Air Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Ishsam Shahruddin (BN) pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.


Bagaimanapun, tarikh PRK tersebut sebenarnya tidak menjejaskan pergerakan mana-mana pengundi Air Kuning yang tersenarai sebagai jemaah haji Malaysia pada musim ini kerana penerbangan pertama bermula pada 29 April ini (Selasa).


Mujahid berkata penangguhan haji kerana PRK, tiada justifikasi dari sudut mudarat besar, dan alasan untuk “kemenangan Islam” yang dicanang adalah terlalu umum serta lebih berasaskan naratif dan kepentingan politik kepartian.


"Ini menjadikan kategori qiyas tersebut sebagai qiyas ma‘al fariq... [contoh qiyas] dinyatakan tidak sepadan dengan asal hukum dan gagal memenuhi disiplin qiyas syari'e.


"Oleh itu, ia tidak wajar dijadikan hujah untuk menangguhkan ibadah haji yang telah diwajibkan jika terlaksananya syarat-syarat yang lengkap," tegas beliau.


Dalam pada itu, beliau menjelaskan maslahah yang sah mengikut disiplin fikah perlu bersifat hakiki, memberi manfaat kepada ummah dan bukan kumpulan tertentu, tidak bercanggah nas, tidak mengatasi maslahah lebih besar dan menjaga lima asas maqasid syariah.


"Dalam kes PRK Ayer Kuning, kenyataan menunda ibadah haji dengan justifikasi “kemenangan Islam” tidak memenuhi kriteria seperti hukum asal seperti disyaratkan disiplin qiyas malah ia hanya bersifat spekulatif serta bersifat partisan dan kepartian," katanya.


Terdahulu Mujahid menjelaskan pandangan jumhur ulama menyatakan kewajipan haji jika memenuhi segala syarat yang ditetapkan adalah bersifat segera (fauran) manakala menangguhkannya merupakan satu kesalahan syarie.


Katanya penangguhan ibadah itu hanya boleh diterima sekiranya mengalami keuzuran syarie seperti sakit, ketidakseimbangan kewangan, ketidakselamatan perjalanan dan sebagainya serta keuzuran pentadbiran antaranya disebabkan masalah visa, kekurangan kuota, atau isu teknikal yang berkait pengurusan oleh pihak berkuasa.


Selain itu, penangguhan juga boleh terjadi jika sebab bencana seperti pandemik, gempa bumi dan banjir besar.


"Selain keuzuran tersebut, Islam melarang mana-mana individu yang memenuhi syarat untuk menunaikan ibadah haji menangguhkannya," katanya.

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page