
Kes kecurian kabel telekomunikasi di Sungai Petani, Kedah yang semakin menjadi jadi sejak kebelakangan ini perlu ditangani segera.
ADUN Bakar Arang, Loh Wei Chai @ Adam Loh (gambar atas) berkata, kecurian kabel menyusahkan penduduk setempat berikutan terputus komunikasi, berlaku kerugian serta terganggunya perkhidmatan.

Oleh itu, beliau menggesa agar pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat duduk bersama wakil rakyat bagi memastikan kes kecurian kabel tersebut dapat ditangani dengan segera.
"Pusat Khidmat DUN Bakar Arang banyak menerima aduan serta laporan mengenai kejadian kes kecurian kabel, bahkan pihak kami sudah pernah membuat laporan polis menggesa siasatan dan tindakan diambil segera.
"Kes yang terbaharu ialah di kawasan Petani Jaya kira-kira 5 hari yang lalu. Saya sendiri turun meninjau ke lokasi kejadian.
"Bukan sahaja kabel dicuri malahan ianya turut menyebabkan berlaku kerosakan kepada kediaman penduduk kerana penjenayah menggunakan "skylift" bagi menarik kabel keluar," katanya.
Sehubungan itu, ADUN Bakar Arang berharap pihak berkuasa menjalankan tindakan segera, rodaan atau tangkapan terhadap kegiatan kecurian kabel yang berleluasa itu.
Comments