
Isu pemalsuan agama individu Kristian tetapi didaftarkan sebagai telah memeluk Islam di Pensingan, Sabah perlu diatasi segera.
Menurut Presiden Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM), Raymond bin Ahuar, beliau sejak kebelakangan ini telah menerima beberapa aduan daripada wakil mangsa pemalsuan agama yang dilakukan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya dari aduan yang diterima, butiran peribadi mangsa telah dipalsukan dalam Borang Pengislaman, Akuan Bersumpah dan cop jari tanpa kesedaran mereka.
"Mangsa tidak pernah mengisi dan melihat borang pengislaman, tidak pernah mengucap dua kalimah syahadah untuk memeluk agama Islam.
"Mangsa juga tidak pernah menurunkan cop jari dalam borang masuk Islam. Semua ini dilakukan tanpa pengetahuan mangsa.
"Mangsa mendakwa bahawa salinan Mykad dan gambar berukuran passport mereka telah disalah guna oleh suspek untuk tujuan lain tanpa pengetahuan mereka," kata Raymond dalam satu kenyataan.
Tambahnya, butiran peribadi diserahkan mangsa untuk tujuan permohonan bekerja di sebuah syarikat namun pihak tertentu telah menyalahgunakannya. Manakala dalam kes lain, katanya, terdapat mangsa yang sudah meninggal dunia dan dikubur menurut upacara Kristian tetapi mempunyai nama seorang Islam dan wujud dalam sistem Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).
"Ada juga mangsa masih tidak percaya nama mereka telah didaftarkan sebagai seorang Islam. Mereka masih bergiat aktif dalam pelayanan dalam gereja dan menjalani kehidupan sebagai orang bukan Islam.
"Malah ada di kalangan mangsa memegang jawatan sebagai pemimpin gereja di kampung. Ini kerana Kad Pengenalan atau dalam sistem Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih Kristian sehingga sekarang walaupun dalam sistem JHEAINS nama mangsa sudah memeluk Islam," katanya.
Menurut Raymond lagi, apabila laporan polis dibuat oleh sebilangan mangsa maka kes itu diklasifikasi sebagai Rujuk Lain Agensi (RLA).
Beberapa orang mangsa, katanya, membuat aduan di JHEAINS, Bahagian Dakwah tetapi diminta pula berurusan dengan Mahkamah Syariah.
"Persoalan sekarang adalah apabila berurusan dengan Mahkamah Syariah pastinya memerlukan seorang Peguam Syarie yang sudah tentu melibatkan kos guaman dan Mahkamah Syariah adalah untuk orang yang beragama Islam sahaja, pada hal mangsa tidak pernah menjadi Islam," katanya lagi.
Hal itu, menurut Raymond, perlu ditangani segera kerana ianya telah merosakkan imej agama Islam dalam kalangan bukan Islam di Sabah.
Hal itu juga, tegas beliau, perlu ditangani demi menjaga nama baik Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutamakan keadilan dan keikhlasan.
Comments