
Koperasi KEADILAN Berhad (KIRA) bukan sahaja berusaha meningkatkan kewangan para anggotanya tetapi turut memberi sumbangan kepada keluarga ahli yang memerlukan.
Menurut satu kenyataan, baru baru ini KIRA telah menghulurkan sumbangan kepada dua keluarga ahlinya sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap cabaran yang bakal mereka hadapi selepas kehilangan insan tersayang.
"Sumbangan pertama diserahkan kepada Saudara Saiful Izham Ramli, adik kepada ahli KIRA Allahyarhamah Puan Normala.

"Sumbangan kedua pula diserahkan kepada Muhammad Suffian Che Mansor, abang kepada ahli KIRA, Nasrul Omar Che Mansor, di kediaman beliau di Sungai Petani," kata kenyataan itu.
Kedua dua sumbangan berkenaan disampaikan oleh Datuk Seri Abdul Halim Hussain, Timbalan Pengerusi KIRA.
"KIRA berharap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga dan menunjukkan solidariti koperasi terhadap ahlinya.
"KIRA percaya bahawa setiap usaha kecil mampu membawa perubahan besar dalam kehidupan seseorang. Semoga sumbangan ini menjadi asbab keberkatan dan inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk saling membantu dalam komuniti kita," kata kenyataan itu lagi.
Koperasi KEADILAN Berhad (KIRA) ditubuhkan dua tahun lalu dengan tujuan membantu anggota KEADILAN yang menyertai koperasi menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan yang ditawarkan serta menjaga kebajikan anggota koperasi.
Anggota KEADILAN boleh mendaftar dengan membayar yuran RM10 dan modal minimum RM100 untuk menjadi sebahagian daripada koperasi berkenaan.
Comments