
Kerajaan berhasrat menjadikan seluruh negeri sebagai pengeluar bawang dengan tumpuan diberikan kepada beberapa kawasan strategik yang mempunyai potensi besar.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Malaysia dijangka mampu menjimatkan RM300 juta sekiranya mampu menghasilkan sendiri 30% keperluan bawang untuk pasaran tempatan.
"Pengeluaran bawang tempatan dapat mengurangkan perbelanjaan negara untuk import selain meningkatkan penghasilan bawang tempatan pada masa depan.
"Kita harap negara dapat mengurangkan import bawang yang kita tahu jumlahnya amat tinggi melebihi RM900 juta," katanya dipetik.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan ke Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kuala Selangor pada Sabtu.
Pada November lalu, Selangor melakar sejarah apabila menuai hasil bawang pertama negeri berjumlah 32 tan menerusi projek Tanaman Bawang Rose Ehsan fasa seluas lapan ekar di Selangor Fruit Valley (SFV).
Projek tersebut merupakan inisiatif strategik Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mengurangkan kebergantungan negara terhadap bawang import.
Ketua Pegawai Eksekutif PKPS Datuk Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi berkata, projek tanaman itu meningkatkan keupayaan pengeluaran bawang tempatan sekali gus menawarkan harga lebih murah kepada pengguna.
Comments