Baik pulih kawasan mendapan tanah di Jalan Masjid India telah dimulakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, penambahbaikan di kawasan itu akan dilakukan secara berskala dan akan mengambil kira pandangan pakar.
"Baik pulih sudah dimulakan sebenarnya, kita akan ‘boarding’ kawasan tu dan kita juga macam contoh IWK (Indah Water Konsortium ) sendiri kita diberitahu telah membuatkan audit integriti dan semua ini kita akan laksanakan dengan berskala.
"Going foward, InshaAllah memang kawasan yang berlaku tanah jerlus itu kita akan lakukan baik pulih, ‘reconstruction’, yang itu kalau boleh DBKL akan mengambil tanggungjawab tersebut," katanya dipetik.
Dr Zaliha ditemui pemberita di Majlis Aprisiasi dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024, di Putrajaya.
Mengulas mengenai jaminan keselamatan dituntut peniaga di ibu negara, Dr Zaliha berkata peniaga tidak perlu khuatir kerana pihak kementerian akan memastikan keadaan akan kembali kepada asal.
"Mereka kena faham keadaan ini adalah satu keadaan yang bukan kita jangkakan dan tidak minta ia berlaku tapi yang lebih penting adalah keselamatan kepada semua, peniaga pengunjung kepada warga.
"Jadi tindakan yang kita ambil untuk memastikan akhirnya keselamatan dapat dijamin dan aktiviti perniagaan khususnya dapat berlaku dengan sempurna dan berbalik kepada asal," tambahnya.
Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita warga India Vijaya Lakshmi Gali, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden mendapan tanah di Jalan Masjid India semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang terjatuh dalam kejadian mendapan tanah dihentikan pada Sabtu atas faktor keselamatan dan akan diteruskan dengan proses pemulihan (search and recovery).
Comments