top of page

Tanah Jalan Duta: Kerajaan teliti pindaan undang-undang, elak implikasi serius



Kerajaan akan terus meneliti pindaan undang-undang bagi mengelak isu pengambilan tanah awam diambil mudah pihak lain khususnya syarikat swasta.


Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan menghormati badan kehakiman, namun perlu melihat semula dari sudut perundangan kerana dibimbangi akan memberi implikasi serius kepada negara jika amalan itu masih berterusan.


Jelasnya, perkara berkenaan akan dibawa ke Jemaah Menteri untuk memperhalusi perkara tersebut pada minggu hadapan.


"Sebab tanah itu diambil untuk kegunaan awam untuk badan-badan kerajaan dan sebagainya, bukan untuk swasta. Tetapi hakim (Mahkamah Tinggi) mungkin tertakluk pada undang-undang yang ada. Jadi, saya akan cadangkan kepada Jemaah Menteri lihat semula undang-undang ini.


"Kalau prinsip ini digunakan, bagaimana dengan tanah-tanah rakyat yang dahulu diambil sejak merdeka atau sebelum merdeka tanah diambil untuk tujuan kerajaan, diambil alih oleh sektor swasta, atau sektor swasta yang membeli tanah pertanian, minggu-minggu berikutnya tukar kepada tanah industri?" katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas peluncuran Majlis Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di ibu negara hari ini.


Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh memutuskan agar kerajaan perlu memindah milik tanah ‘Duta Enclave’ kepada Semantan Estate, selepas membenarkan saman pemula syarikat itu terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan selaku defendan.


Keputusan itu juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.


Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Semantan Estate pada 2003 memfailkan saman terhadap kerajaan atas dakwaan pencerobohan yang berpunca daripada pengambilan tanah secara tidak sah daripada syarikat itu.


Pada 2009, Pesuruhjaya Kehakiman Zura Yahya memutuskan bahawa Semantan Estate mengekalkan kepentingan benefisialnya terhadap tanah seluas 263.27 ekar itu yang telah diambil alih oleh kerajaan secara tidak sah serta melakukan pencerobohan ke atas tanah terbabit.


Kerajaan kemudian mengemukakan rayuan namun ditolak pada 18 Mei 2012 dan pada 21 November 2012, Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan bagi kebenaran merayu keputusan itu.


Pada 2018, Mahkamah Persekutuan sekali lagi menolak permohonan kerajaan untuk menyemak semula keputusannya sebelum ini.


Semantan Estate memfailkan saman pemula terhadap Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan pada Februari 2017 untuk menguatkuasakan penghakiman Mahkamah Tinggi pada 2009.


Susulan keputusan terbaharu itu, Peguam Persekutuan Kanan Shamsul Bolhassan mengesahkan Jabatan Peguam Negara bagi pihak kerajaan telah memfailkan rayuan.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page