
Oleh: Akmal Manaf
Tindakan seorang warga emas yang menampar seorang lelaki bukan beragama Islam di sebuah kedai serbaneka di pusat membeli-belah di Johor Bahru telah memberi gambaran buruk kepada imej Islam.
Perkara tersebut disuarakan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menerusi satu video di TikTok yang mengulas isu berkenaan.
Katanya, seorang Muslim yang telah berusia dengan pakaian Islam sepatutnya mencerminkan akhlak dan peribadi sebagai seorang Muslim yang berilmu serta dapat membezakan kewajiban berpuasa hanya ke atas muslim.
''Ini adalah berpandukan kepada taklif berpuasa iaitu daripada sudut syariatnya hanya ke atas orang Islam.
''Islam sama sekali tidak memaksa orang bukan Islam untuk beramal dengan apa yang ditaklifkan secara khusus kepada umat Islam,'' katanya.
Dalam video sama, mantan Menteri Agama itu berkata, kejadian tersebut menggambarkan sikap melampau atau dipanggil ghuluw.
Ahad lalu, tular video di media sosial yang memaparkan seorang pemuda ditegur lelaki warga emas kerana didakwa makan secara terbuka pada bulan Ramadan di sebuah pusat beli-belah.
Laporan media menyatakan berlaku ketegangan apabila warga emas berkenaan meminta pemuda itu menunjukkan kad pengenalan bagi membuktikan dia bukan beragama Islam.
Namun pemuda itu dikatakan enggan menunjukkan kad pengenalan kemudian mendakwa telah dimarahi warga emas tersebut yang kemudian turut menamparnya beberapa kali.
Comentarios