Pengguna Transit Aliran Massa (MRT2) laluan Putrajaya akan menikmati perkhidmatan pengangkutan awam itu secara percuma sehingga akhir bulan ini.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pelancaran perkhidmatan tersebut di Depoh Serdang pagi tadi.
"Mulai 3 petang hari ini sehingga 31 Mac, MRT tidak akan mengambil bayaran daripada pengguna laluan ini," katanya dipetik.
Menurut laporan Bernama, PM menegaskan pengangkutan awam amat penting digunakan oleh rakyat kerana mampu mengatasi masalah lalu lintas yang semakin kronik terutama di jalan masuk ke ibu negara.
Kesesakan lalu lintas katanya, menyebabkan pekerja kehilangan banyak masa produktif dan mengganggu produktiviti.
"Soal pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas itu akan menimbulkan soal produktiviti (dan) produktiviti negara akan terjejas kerana kesesakan masa yang diambil pekerja untuk ke tempat kerja.
"Satu kajian menarik yang saya lihat di Bangkok beberapa tahun lalu menunjukkan, beberapa bilion dolar hilang dari sudut produktiviti semata-mata kerana kesesakan yang parah.
"Sebab itu jawapannya apa? Jawapannya ialah pengangkutan awam... jadi MOT (Kementerian Pengangkutan) juga sedang siapkan satu kerangka dan strategi pengangkutan awam yang lebih menyeluruh, dan akan dibentang pada jemaah menteri dan boleh dilaksana mengikut peringkat," katanya.
Selain itu, Anwar juga menekankan aspek senggaraan kepada pengangkutan awam yang perlu diutamakan.
Katanya untuk membina sistem pengangkutan awam, kerajaan menghabiskan berbilion ringgit. Oleh itu senggaraan amat penting agar jangka hayat sistem pengangkutan tersebut panjang dan pengguna menggunakannya dengan selesa.
Anwar menyatakan berpuas hati ketika ditemui selepas mencuba laluan ke Putrajaya. Beliau menzahirkan rasa puas hati dengan tahap pengurusan, pemantauan serta pengurusan kebersihan di sepanjang laluan.
"Harap pengguna bagi kerjasama pastikan kebersihan dan penggunaan fasiliti dengan baik," katanya.
Turut dihadir Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari.
Comments