
Satu mesyuarat dan taklimat akan diatur bersama semua pemegang taruh bagi memberikan gambaran jelas mengenai projek penambakan laut berdekatan jeti nelayan Batu Uban.
Demikian maklum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A Kumaresan selepas merasmikan Mesyuarat Agung Kali Ke-31 Unit Nelayan, baru-baru ini yang dihadiri seramai 61 ahli.

Katanya dalam mesyuarat itu, pelbagai isu mustahak telah dibangkitkan antaranya status tanah yang dimohon kepada Kerajaan Negeri dan isu hakisan.
Selain itu ujarnya, kerisauan nelayan mengenai projek penambakan laut oleh pemaju Penang World City yang berdekatan dengan lokasi jeti nelayan turut dibincangkan.
"Saya juga akan menulis surat kepada pihak Pejabat Tanah Daerah Timur Laut untuk mengetahui mengenai status permohonan tanah yang diutarakan oleh unit nelayan.
"Dalam ucapan saya juga merakamkan penghargaan kepada semua nelayan yang turun ke laut tanpa mengira cuaca panas atau hujan demi menyediakan rantaian bekalan kepada pasaran tempatan dan juga pendapatan kepada negeri," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Dalam mesyuarat sama, Kumaresan turut mengumumkan peruntukan kepada Unit Nelayan Batu Uban bagi menjalankan aktiviti mereka.
Comments