Oleh: Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa
ULASAN: Kejatuhan Presiden Syria, Bashar Al Asad adalah petanda jatuhnya sebuah rejim diktator yang diasaskan oleh ayahnya Hafez Al Asad sejak 50 tahun yang lalu.
Pemerintahan keluarga Al Asad selama ini menyakiskan penindasan terhadap suara rakyat. Peristiwa paling kejam pada masa pemerintahan Hafez Al Asad adalah penyembelihan ke atas rakyatnya sendiri pada pada 2 Februari 1982 dikenali sebagai penyembelihan Hama mengambil korban hampir 25,000 penduduk daerah Hama. Peristiwa pembunuhan di Hama telah meninggalkan bekas mendalam kepada rakyat Syria yang memendam kebencian kepada rejim parti Baath kepimpinan Hafez.
Kematian Hafez pada tahun 2000 mewariskan penerusan kediktatoran khususnya apabila rakyat bangkit semasa Arab Spring pada tahun 2011 di Syria dikenali sebagai Kebangkitan Revolusi Maruah Syria. Kebangkitan ini dibalas dengan tindakan ganas dan kejam rejim yang kini dipimpin oleh Bashar dengan pembunuhan, penangkapan dan penyeksaan beribu mangsa ke atas rakyatnya sendiri sehingga lahirnya penentangan bersenjata dari berbagai fraksi yang bersedia untuk menjatuhkan regim Bashar dan mendapat sokongan majoriti rakyat
Diperintah kelompok Alawiyin Syiah
Syria diperintah oleh minoriti kelompok Alawiyin Syiah yang menguasai semua agensi ketenteraan, perisikan dan keselamatan dan kuasa mutlak di tangan Presiden Hafez dan kemudian Bashar. Majoriti Sunni dan bukan Alawiyin berkongsi kuasa tetapi terhad dengan kuasa besar yang ada pada presiden.
Pembahagian sekte (mazhab) sangat ketara di Syria dan dengan pemerintahan kuku besi keluarga Al Asad keadaan ini menjadi sangat rapuh dan boleh mencetuskan konflik sekte pada bila-bila masa termasuklah peristiwa Hama tahun 1982 di mana majoriti Sunni telah disembelih dan kota Hama diranapkan.
Syria turut tersenarai dalam bidak-bidak percaturan Barat dan Rusia dalam konflik Timur Tengah sejak kewujudan entiti haram Israel. Syria menyertai perang Arab Israel tahun 1967 bersama Mesir dan Jordan.
Perubahan peta penaklukan Israel ke atas Golan Height membentuk hubungan tegang Israel Syria pada tahun mendatang. Syria sehingga sekarang tidak pernah mendapat konsesi hasil rundingan damai sepertimana Mesir yang berjaya mendapatkan kembali tanah yang dikuasai Israel dalam Perang Jun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Segenting Gaza. Syria tidak mengiktirafi Israel berbanding negara Arab lain khususnya setelah perjanjian Camp David 1978.
Akibat kepentingan konfliknya dengan Israel, Syria menempatkan hampir semua kelompok yang anti-Israel dari Hezbollah, Hamas dan Jihad Islami. Dari sudut hubungan kenegaraan Syria mempunyai hubungan ketenteraan dengan Iran, Lebanon dan Turkiye atas kemaslahatan negara masing-masing.
Campur tangan Turkiye, Rusia
Turkiye yang berkonflik dengan Syria kerana bimbang pemberontak Kurdis yang mendapat perlindungan di negara itu. Pada pasca 2011 menyaksikan intervensi ketenteraan Turkiye yang mengutuk tindakan regim Syria menindas kebangkitan rakyat ke atas kediktatoran Bashar dengan menawan daerah utara Syria iaitu Hatey dan Gaziantep.
Turkiye punya kepentingan kerana terpaksa menerima ribuan pelarian Syria di kawasannya dan menanggung beban kos pengurusan banjiran pelarian Syria. Pada waktu sama pemberontak Kurdis dari kelompok militer dikhuatiri beroperasi dari bumi Syria.
Rusia ada kepentingan hubungan untuk mengimbangi dominasi Amerika di Timur Tengah apatah lagi kekecewaan Asad kepada Amerika dalam isu Golan Heights mendorong regim Asad berpaling kepada Rusia yang membekalkan keperluan senjata kepada Syria.
Iran pula berkongsi sentimen atas hubungan sekte Syiah dan kepentingan geo-politik menimbangkan ancaman Turkiye, Israel dan pembelaan ke atas Palestin. Malah kewujudan anasir Iran di tempat-tempat suci syiah seperti Maqam Saydatina Zainab di Selatan Damsyik menimbulkan suasana tidak senang penduduk tempatan.
Bashar terlalu lemah
Berakhirnya regim keluarga Asad adalah kerana Bashar sudah tidak lagi mampu mengimbangi tekanan dalaman dan luaran serta kelemahan moral tenteranya malah kewujudan anasir Rusia dan Iran untuk mengekalkan regim tidak lagi berbaloi kerana Bashar terlalu kemah dan penentangan rakyat ke atasnya meningkat.
Ketidakstabilan ini memudahkan lagi para pejuang pembebasan Syria memasuki kota-kota strategik ke Damsyik tanpa penentangan. Kemasukan tentera pembebasan disambut dengan kemenangan rakyat dan transisi ke arah solusi politik sedang berjalan lancar tanpa ada apa-apa halangan besar.
Ketua tentera pembebasan Abu Mohammad al Julani memperlihatkan kekuatan diplomasinya dengan fokus kepada tujuan pembebasan Syria dan bukan untuk menciptakan huru-hara dendam dan keganasan. Beliau menyeru kepada jaminan keselamatan untuk tidak membunuh musuh yang menyerah dan tidak kejar musuh yang lari.
Nampaknya proses transisi kuasa ketenteraan kepada proses politik berjalan lancar dengan jaminan Al Jilani. Penguasaan tentera pembebas yang dipimpin oleh HTS ke atas bangunan aparatus kerajaan berlaku tanpa penentangan menandakan Bashar sudah hilang kuasanya secara mutlak.
Masa depan Syria amat rumit
Spekulasi berbagai termasuk apakah al Julani disokong oleh Turkiye atau Amerika adalah terlalu simplistik. Malah ada yang menganggap kewujudan Bashar perlu untuk imbangi kemaraan Israel dan politik Amerika melalui kewujudan anasir Iran dan Hezbollah.
Sebenarnya keadaan lebih rumit dari yang kita jangkakan. Buat masa ini perkara besar, kezaliman regim Asad dari ayah dan anaknya telah berakhir dan ianya satu kemenangan kepada rakyat Syria atas kezaliman pembunuhan dan penindasan yang berlaku selama berpuluh tahun.
Apakah yang dijangkakan dari episod seterusnya perihal ancaman entiti haram Israel di celah kemunculan era baharu Syria? Bagaimanakah percaturan Amerika, Rusia, Turkiye dan Iran dalam lanskap baru ini?
Apa yang pastinya semua negara berkepentingan ini bersetuju bahawa rejim Asad perlu berakhir dan satu era baharu perlu muncul, hanya Allah sahaja tahu apa akan berlaku seterusnya dari bumi Syam ini yang menjadi tumpuan serta jangkaan bahawa akan bangkit gerombolan dari Syam yang akan membebaskan Al Aqsa.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Timbalan Presiden Parti AMANAH Negara
Comentarios