Penghuni di sembilan rumah yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh di Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong, Selangor pada hujung tahun lalu kini sudah dapat kembali ke kediaman masing-masing hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, keputusan itu susulan kawasan itu diisytiharkan bebas bencana dan insiden tanah runtuh pada 28 Oktober lalu berdasarkan pandangan daripada agensi terlibat selain laporan teknikal daripada Bahagian Kejuruteraan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).
Sementara itu, Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, kos keseluruhan kerja-kerja pembaikan kawasan tanah runtuh itu berjumlah RM12.12 juta melibatkan dua fasa utama iaitu penstabilan sementara dan penstabilan kekal, bermula dari 17 Disember 2023 hingga 24 Oktober 2024.
"Pada 17 Disember 2023, MBSJ telah melantik kontraktor untuk melakukan kerja penstabilan sementara bagi memasang cerucuk keluli di kawasan runtuhan dan pembaikan longkang monsun itu sepanjang 83 meter.
"Pada 15 Mei 2024, kerja penstabilan kekal telah bermula dan mengambil masa lebih kurang enam bulan... siap sepenuhnya dalam tempoh kurang dari satu tahun untuk kawasan runtuhan yang besar, yang turut melibatkan pembinaan ‘gabion wall’ dan penstabilan semula cerun," kata Ng yang juga Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor pada sidang media perkara berkenaan semalam.
Beliau berkata, sebelum ini terdapat empat keluarga memilih untuk tinggal sementara di kuarters MBSJ manakala lima lagi memilih menetap bersama saudara dan kini semua penghuni sembilan rumah boleh kembali ke kediaman mereka.
"Saya sudah dimaklumkan pada masa ini semua penduduk sedang sibuk membersihkan kediaman mereka untuk berpindah kembali dalam masa terdekat. Kediaman mereka dijamin selamat dan boleh kembali bila-bila masa bermula hari ini," katanya.
Pada 16 Disember tahun lalu, kejadian tanah runtuh melibatkan kawasan longkang monsun sedia ada dan cerun di kawasan tersebut berlaku susulan intensiti hujan yang sangat tinggi, 95.5 milimeter (mm).
Insiden telah melibatkan runtuhan seluas 0.872 hektar dan mengakibatkan sembilan rumah terjejas dengan penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna MBSJ, Laman Puteri 3, Puchong.
Sebanyak empat kenderaan tertimbus dalam runtuhan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Komentar