Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Bharu (KKB) malam tadi yang menyaksikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao memberi makna yang amat besar kepada politik aliran sederhana yang mengutamakan keharmonian antara kaum di Malaysia.
Bagi Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, pengundi di KKB telah membuat keputusan yang tepat memilih calon Kerajaan Perpaduan sebagai wakil rakyat di kawasan tersebut.
"Alhamdulillah, Rakyat KKB pilih Perpaduan.
"Terima kasih buat semua pengundi KKB yang telah menjalankan amanah hari ini," kata Ketua Penerangan KEADILAN itu dalam catatan di Facebook malam tadi.
Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) dalam pada itu mengucapkan syabas kepada jentera kempen PH serta komponen Kerajaan Perpaduan yang menunjukkan semangat padu melawan jentera PN, khususnya sepanjang dua minggu berkempen.
"Penghargaan yang tak terhingga buat semua jentera PH dan BN yang bekerja keras memastikan kemenangan buat calon Perpaduan.
"Sekali lagi, tahniah buat YB Pang Sock Tao. Jalankan amanah dengan baik," katanya lagi.
Pada PRK KKB semalam, Sock Tao mengalahkan pencabar terdekatnya dari Perikatan Nasional (PN) Khairul Azhari dengan kelebihan 3,869 undi majoriti.
DUN Kuala Kubu Bharu mempunyai seramai 40,413 pengundi berdaftar , peratusan keluar mengundi yang direkodkan semalam adalah sebanyak 61.51 peratus
Comments