![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_744fff3b89a74e21a8768074a630203d~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_411,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_744fff3b89a74e21a8768074a630203d~mv2.jpg)
Isu tahanan rumah ke atas bekas Perdana Menteri Najib Razak tidak perlu diperpanjangkan lagi berkaitan kuasa pengampunan yang dimilikki oleh Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42(2) Perlembagaan Persekutuan.
Menurut kenyataan Jabatan Peguam Negara, Agong mempunyai kuasa meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Dalam hal ini, keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Lembaga Pengampunan menurut Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan juga adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang terpakai bagi mengelakkan tindakan sedemikian dicabar di mahkamah kerana tidak sah dari segi undang-undang," kata jabatan itu dalam kenyataan.
Sehubungan itu, menurut kenyataan itu lagi, kamar Peguam Negara telah dititahkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memaklumkan bahawa semua permohonan mengenai pengampunan hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh baginda mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang undang dan bukannya mana-mana saluran lain.
"Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan termasuk Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menghabiskan baki tempoh hukumannya dengan ditahan di rumahnya, permohonan berkenaan perkara tersebut
hendaklah dikemukakan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa," kata kenyataan itu lagi.
Sebelum ini, berlaku kontroversi terdapat titah adendum oleh mantan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menitahkan Najib menghabiskan baki hukuman dengan ditahan di rumah.
Bagaimanapun dalam semakan di Mahkamah Tinggi, hakim menolak unsur titah berkenaan kerana tidak dibuktikan kewujudannya dengan bukti kukuh.
Comments