
Tadbir urus dan kawal selia terhadap penggunaan bahan kimia berbahaya diperkukuhkan melalui Jawatankuasa Pengukuhan Tadbir Urus Bahan Kimia Berbahaya Peringkat Kebangsaan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, langkah kawal selia bermula daripada proses kemasukan hingga pelupusan akan dilaksana secara bersepadu oleh sembilan kementerian dan agensi.
Melalui jawatankuasa itu, kementerian tidak lagi akan bekerja secara 'silo' dalam mendepani pelbagai isu-isu berkaitan bahan kimia berbahaya.
"Jawatankuasa sudah ditubuhkan. Pertama, ia memudahkan perkongsian data antara pelbagai kementerian dan agensi.
"Ia dilaksanakan secara bersepadu menggunakan sembilan akta sedia ada yang sedang berkuat kuasa.
"Masing-masing ada sistem inventori data tersendiri bagi memantau bahan kimia bawah akta masing-masing," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Isnin.
Nik Nazmi sebelumnya menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih atas Titah Diraja bagi kementeriannya.
Sementara itu sebagai mengulas isu berkaitan pengurusan sampah dan pembakaran terbuka yang semakin banyak berlaku di kawasan perumahan, Nik Nazmi berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak dapat mengambil tindakan secara meluas tanpa bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Sebagai contoh dalam isu pembakaran terbuka, ia sebenarnya boleh dikuatkuasakan bawah JAS tetapi kita tidak mampu melakukannya kerana isu bilangan anggota (pelaksana).
"Oleh itu, JAS memfokus industri seperti kilang besar. Justeru, kita mengharapkan kerjasama pada peringkat PBT dari segi pengurusan sampah dan sebagainya.
"Isu semakin banyak dan PBT perlu sedar (jika ia tidak ditangani) boleh menyumbang kepada situasi cuaca dan kualiti udara tidak sihat," katanya.
Comments