
Oleh: Noraini Nordin
(Sorotan Program Pemantapan Representasi Wanita Dalam Parlimen - Anjuran Wanita KEADILAN Pusat)
Wanita KEADILAN menyambut baik penubuhan Tabung 30Wreps yang telah diumumkan oleh Ketua Wanita Pusat, Fadhlina Sidek dalam Program Pemantapan Representasi Wanita di Putrajaya, semalam.
Menurut mereka, inisiatif penubuhan tabung tersebut adalah satu lagi usaha terbaik Fadhlina bagi menaikkan semangat wanita yang sebelum ini berdepan kekangan dana untuk menjadi calon bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU).
Penubuhan Tabung 30Wreps dengan dana permulaan sejumlah RM50,000 diumumkan oleh Fadhlina itu bertujuan
membantu calon wanita parti yang bakal bertanding, terutama sebagai calon PRN Sabah dalam waktu terdekat dan PRU yang bakal mendatang.
Tabung tersebut diwujudkan sebagai perintis kepada tindakan susulan daripada Program Pemantapan Representasi Wanita Dalam Parlimen yang berlangsung di Hotel Pulse Grande Hotel, Putrajaya semalam.
Program tersebut bertujuan memulakan kempen dalaman untuk mencalonkan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita bertanding dalam PRN dan PRU.
Menggilap potensi diri

Mengulas usaha tersebut, Ketua Wanita KEADILAN Negeri Pahang, Haslindalina Hashim menyifatkan inisiatif berkenaan menjadi inspirasi kepada wanita untuk mengilap potensi diri menjadi pemimpin politik yang berkualiti pada masa hadapan
"Sasaran penglibatan 30 peratus wanita untuk ditampilkan sebagai calon dalam PRN dan PRU akan dapat dilaksanakan (dengan dana terbabit).
"Ini secara langsung memberi peluang kepada wanita untuk memperjuangkan hak mereka. Demi membela wanita sudah pasti Wanita Pahang amat gembira dengan usaha yang dibuat ini," kata Haslindalina yang juga mantan Calon DUN Panching (Parlimen Paya Besar) Pahang.

Bagi Ketua Wanita KEADILAN Negeri Terengganu, Armila Alias, beliau yakin usaha untuk meningkatkan jumlah perwakilan wanita dalam politik boleh dicapai melalui kempen yang konsisten serta sokongan dana daripada penubuhan tabung tersebut.
"Program ini membawa satu anjakan paradigma kepada kepimpinan wanita untuk mengangkat agenda 30 peratus kuota wanita agar dapat dicapai seperti yang diimpikan," jelasnya.
Menyegarkan semangat wanita

Mengulas isu yang sama Ketua Wanita KEADILAN Negeri Perlis, Zainab Ibrahim berkata, kaum hawa jika diberi peluang pasti dapat menonjolkan bakat kepimpinan masing-masing.
"Ramai yang berkeupayaan tetapi masih malu untuk menunjukkan kemampuan mereka. Kami berterima kasih kepada YB Fadhlina yang sentiasa mengambil berat untuk memajukan wanita.
"Usaha yang dilakukan oleh beliau mampu menyegarkan semangat wanita. Hala tuju wanita dalam politik semakin jelas. Lorong untuk wanita berjaya semakin luas. Sudah pasti kami akan terus mara dan gigih untuk meneruskan perjuangan," ujarnya.
Kekangan dana berakhir
Turut memberi pendapat berkaitan usaha Wanita KEADILAN itu ialah daripada Wanita Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Perlis.

Naib Ketua Wanita Negeri Sembilan, Kavieetha Sega berpendapat tabung itu akan memberi manfaat besar untuk wanita bertanding di peringkat mana pun.
"Idea Tabung 30Reps bermanfaat bagi calon wanita yang akan bertanding pada masa depan. Persiapan dana, latihan, kursus kepimpinan amat perlu. Secara strateginya wanita lebih yakin untuk bertanding," katanya.
Timbalan Ketua Wanita Pulau Pinang, Rodziah Khassim pula berpendapat kekurangan kewangan sebelum ini menjadi penghalang wanita untuk menjadi calon pilihanraya.
"Kekangan kewangan antara isu utama untuk wanita maju dalam politik selain daripada cabaran menguruskan kehidupan berkeluarga.

"Sebab itu usaha untuk memajukan wanita perlulah disokong serta didokong dengan dana serta pendidikan politik. Wanita Pulau Pinang bersyukur kerana Ketua Wanita Pusat peka terhadap keperluan kami dan menghulur tangan untuk membantu tanpa rasa jemu," katanya.
Manakala Setiausaha Wanita Cabang Padang Besar, Perlis, Hasmawati Ibrahim berkata, inisiatif tersebut bakal menyaksikan lebih banyak suara wanita di peringkat DUN dan Parlimen.
"Ramai wanita yang masih belum ada kesedaran mengenai perlunya lebih ramai wakil hawa dalam DUN dan Parlimen.

"Dengan adanya inisiatif baharu ini wanita akan lebih celik untuk bersama-sama terlibat sebagai pembuat dasar serta menjadi pemimpin politik yang berkualiti," katanya.
Program pemantapan kepimpinan
Semalam, Program Pemantapan Representasi Wanita Dalam Parlimen anjuran Wanita KEADILAN Pusat telah dihadiri seramai 100 peserta dari seluruh negara. Peserta terdiri daripada Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN (MPWP), Ketua Wanita Cabang, Srikandi dan pelajar-pelajar Sekolah Wanita (SWAN).
Turut memberi ceramah dalam program tersebut ialah Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan.
Fasilitator utama program Pengerusi Eksekutif EMPOWER Gopalan Papachan, Maria Chin, Manahara Subramaniam dan Azemi Mohd Yunus.
Comments