Konsep pengukuran pendapatan yang agak kontroversi diperkenalkan lewat Belanjawan 2025 melibatkan pengkelasan pendapatan T15 menggantikan T20, bukan semata mata perbezaan angka.
Hal itu, menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, konsep pengiraan pendapatan isi rumah T15 berbeza sama sekali dengan yang diperkenalkan kerajaan BN dahulu iaitu pengkelasan T20, M40 dan B40.
Konsep pengiraan baharu, katanya, adalah berasaskan lokasi serta bilangan anggota keluarga.
"Rujukan menggunakan pendapatan isi rumah kasar tidak mewakili atau menggambarkan keadaan sebenar kemampuan dan tanggungan yang dihadapi setiap isi rumah sebab tidak membezakan mengikut kawasan dan kos sara hidup itu juga berbeza-beza.
"Kita dah sampai ke peringkat membentangkan satu konsep yang kita panggil 'perbelanjaan asas kehidupan wajar' mengikut daerah-daerah di seluruh Malaysia dan kos perbelanjaan asas untuk hidup wajar mengikut saiz isi rumah dan juga lokasi.
"Pada masa yang sama dalam memuktamadkan kriteria kumpulan T15, kita melihat aspek-aspek yang lebih menyeluruh seperti jumlah anak, lokasi, tanggungan rumah, kenderaan dan sebagainya," kata Rafizi dalam satu kenyataan.
Konsep tersebut sama sebagaimana diterangkan beliau dalam Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13 di Melaka beberapa hari lalu ketika ditanya oleh wakil rakyat kontroversi, Datuk Dr Akmal Salleh mengenai ketidak seimbangan pendapatan dalam konsep sedia ada, di mana jumlah pendapatan dikelaskan M40 tetapi realiti kehidupan mungkin B40.
Rafizi menjawab, konsep baharu T15 dan seumpamanya akan membezakan pendapatan mengikut kawasan dan kemudian dikira berdasarkan gaji bersih yang boleh dibelanjakan sesebuah keluarga.
"Kalau YB Akmal ingat sebelum jadi kerajaan pun I have difficulty dengan pendapatan isi rumah kasar.
"Satu sebab dia tidak membezakan ikut kawasan. Contohnya tempat berlainan, kos sara hidupnya lain.
"Di Setiu, Terengganu contohnya pendapatan isi rumah RM5,000 sebulan, gaya hidup dia dah boleh jadi T20.
"Sebab rumah murah, kos (kehidupan) murah dan sebagainya. Kalau RM5,000 di KL masaklah kau. Tambah kalau anak 4 - 5 orang. Terutama anak baru lahir atau baru nak masuk universiti, mahal
"Jadi konsepnya memang kita kena pergi kepada pendapatan isi rumah bersih," katanya.
Tambah Rafizi, proses penentuan kriteria perbelanjaan asas kehidupan wajar itu agak memakan masa untuk ditetapkan kerana jumlah data yang besar dan proses tersebut tidak pernah dilaksanakan atau dimulakan di negara ini.
Justeru Kerajaan Madani, katanya, komited untuk melalui proses tersebut agar penentuan kumpulan yang dikelaskan benar-benar menggambarkan keadaan sosio-ekonomi dan tanggungan setiap isi rumah.
Comments