
Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Terengganu yang diterajui Pas dinasihat agar mengkaji semula keperluan dan fungsi penjawat awam di negeri berkenaan yang jumlahnya kira-kira 14,000 orang.
Menurut Ketua Wanita KEADILAN Terengganu, Armila Alias, jumlah yang begitu besar bagi negeri yang kepadatan penduduknya rendah amat menekan kewangan negeri, sehingga untuk membayar Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) pun terpaksa meminta bantuan Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau meminta kepimpinan Kerajaan Negeri mengkaji jumlah kakitangan dan mengutamakan perkhidmatan yang perlu sahaja.

''Tiada keperluan.. rasanya pemimpin Pas patut periksa semula keperluan penjawat awam ini.
''Pemimpin Pas juga sepatutnya fikir apa yang patut dahulu,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai angka penjawat awam di negeri berkenaan yang meningkat drastik berbanding pada era pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) sehingga 2018 lalu yang hanya melantik sekitar 7,000 kakitangan.
Selain itu, ditanya mengenai tindakan kerajaan pusat menyalurkan wang ehsan terus kepada projek rakyat di Terengganu tanpa melalui Kerajaan Negeri, Armila menyatakan sokongannya terhadap langkah berkenaan kerana hal itu lebih telus dan tidak dibazirkan kepada perkara yang berkaitan politik.
Terdahulu, Kerajaan MADANI bersetuju membiayai Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada lebih 14,000 penjawat awam di Terengganu.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan langkah itu, susulan lawatan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ke Terengganu pada 21 Mac lalu.
Menurut kenyataan itu, BKKA tersebut akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidilfitri bagi menyerikan persiapan menyambut lebaran.
Comments