T'ganu Petroleum: MB Samsuri rujuk dahulu undang undang negara - NGO
- Suara Keadilan
- 12 minutes ago
- 2 min read

Cadangan Kerajaan Terengganu untuk menubuhkan sebuah entiti pengurusan petroleum negeri yang mungkin dinamakan sebagai "Terengganu Petroleum" mendapat pelbagai reaksi rakyat negeri itu.
Bagi Setiausaha Pertubuhan Pendidikan Intelek Warga Terengganu (Intelek), Ahmad Nadhir Yob, penubuhan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti itu bertujuan menggantikan peranan Petronas tetapi dengan bidang kuasa kurang jelas tidak akan memberi sebarang kebaikan kepada negeri.
Katanya, undang undang Malaysia berkaitan petroleum jelas tidak memihak kepada Kerajaan Negeri di Semenanjung untuk menubuhkan sebuah syarikat pengurusan petroleum sendiri.
Jelas beliau, Terengganu tidak perlu mengikut jejak langkah Sarawak yang mempunyai bidang kuasa autonomi berbuat demikian di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Intelek Terengganu menasihatkan supaya beliau merujuk dahulu Perlembagaan negara, Jadual 9, Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Laut Wilayah 2012.
"Dalam Perlembagaan, Terengganu bukan Wilayah, ia adalah negeri yang termasuk dalam Persekutuan Malaysia
"Apabila beliau menyatakan untuk membuat syarikat petroleum seperi Petros (Sarawak) dia bercanggah dengan Perlembagaan.
"Terengganu berbeza dengan Sarawak, Sarawak mempunyai legistatif yang selari dengan Perlembagaan kerana mengikut MA63," katanya dalam kenyataan.
Sebaliknya, kata beliau, Terengganu tertakluk kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 dan Akta Pembangunan Laut Wilayah 2012.
"Keputusan ingin membuat syarikat petroleum itu bercanggah dengan Akta Kerajaan Persekutuan. Mengikut Perlembagaan negara mana mana enekmen yang bercanggah dengan Akta Kerajaan Persekutuan dengan sendirinya enakmen itu akan terbatal. Ini perkara asas dalam pentadbiran negara.
"Bagaimana seorang Menteri Besar boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini. Ini tidak lain retorik politik murahan sebagaimana kita tahu pimpinan Pas selalu melontarkan stunt politik untuk memesongkan penyokong mereka tanpa fakta dan data demi membakar sentimen," katanya lagi.
Untuk rekod, pada 17 April lalu semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih dalam sidang DUN, Kerajaan Terengganu dilaporkan sedang mengorak langkah untuk menubuhkan entiti petroleum miliknya sendiri menerusi kerjasama strategik dengan sebuah syarikat minyak dan gas dari negara Oman. Menurut laporan, rundingan awal bersama Petronas sedang berjalan untuk pengambilalihan operasi.
Dr Samsuri menambah bahawa kewujudan ‘Terengganu Petroleum’ akan menjadi landasan baharu untuk hasil jangka pertengahan negeri dan bakal muncul sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kluster minyak dan gas GLC Terengganu.
Comentarios