Oleh: Abdullah Zaid
Syarikat tempatan perlu lebih banyak terlibat dalam pembangunan Projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang
Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, penglibatan itu penting untuk meraih manfaat bersama pembangunan dan pengembangan teknologi.
Katanya, kerjasama Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dengan industri berteknologi tinggi Pulau Pinang memberi peluang lebih luas kepada syarikat tempatan membangunkan pembinaan LRT berkenaan.
"MRT Corp ingin bekerjasama dengan Penang High Tech Industries untuk membangunkan teknologi baharu dalam industri keretapi.
"LRT Pulau Pinang adalah satu-satunya projek infrastruktur terbesar di Pulau Pinang. Ia harus menjadi pemangkin untuk mencipta inovasi dalam generasi baharu teknologi kereta api," katanya dalam satu kenyataan.
Tze Tzin berkata, MRT Cort mengajak sektor industri tempatan mencari penyelesaian bersama melibatkan beberapa aspek pembangunan projek seperti pemanduan rel autonomi, peralatan ujian ketepatan, alatan mekanikal, kemudahan bateri bertaraf tinggi dan kemudahan tiket serta perisian.
"MRT Corp bersama Technology Depository Agency (TDA) dan InvestPenang ingin mewujudkan ekosistem kereta api dan rantaian bekalan di Pulau Pinang.
"Potensi rancangan itu dapat membuka peluang (LRT Pulau Pinang) untuk menjadi sebahagian daripada laluan teknologi rel global," ujarnya lagi.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mensasarkan pembinaan LRT Pulau Pinang dijangka bermula pada tahun ini.
Projek yang bermula dari Pulau Silikon hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dijangka mengambil masa lebih kurang enam tahun dan beroperasi pada tahun 2030.
Jelasnya, jajaran LRT Laluan Mutiara akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai
Tambah Loke, jarak jajaran dianggarkan 29 kilometer dengan 20 stesen termasuk 2 stesen pertukaran, iaitu di Stesen Komtar dan Stesen Penang Sentral.
Commentaires