Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) komited untuk memperkasakan industri melalui penerapan sains dan teknologi.
Menterinya Chang Lih Kang berkata, selama ini pihaknya telah memainkan peranan dalam memupuk inovasi.
Ujarnya, ia bermula dengan menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) sehingga menggalakkan syarikat pemula sekali gus membina kerjasama strategik bersama institusi akademik dan pelbagai sektor industri.
Selain itu katanya, MOSTI juga terlibat sebagai jawatankuasa teknikal dalam inisiatif Malaysia Maritime Single Window (MMSW) yang dipacu oleh Kementerian Pengangkutan (MOT).
''MMSW adalah platform digital berpusat untuk sektor maritim bertujuan menyelaraskan proses perdagangan, meningkatkan kecekapan operasi dan memastikan pematuhan dalam sektor tersebut.
''Melalui MMSW, pemegang taruh industri maritim dapat memanfaatkan proses yang lebih lancar dan bersepadu untuk pengurusan dokumentasi serta maklumat, sekali gus menyokong visi negara untuk menjadi hab perdagangan serantau yang berdaya saing,'' katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Teater Talent Bridge dan Teater LogTech, Fakulti Sains Komputer & Teknologi Maklumat, yang disempurnakan oleh beliau di Universiti Malaya (UM), hari ini.
Menurut Lih Kang, Teater LogTech merupakan contoh terbaik untuk menggambarkan kerjasama antara ahli akademik dan industri yang berupaya menghasilkan satu penyelesaian bermakna.
Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN optimis kemudahan tersebut akan dapat meningkatkan fokus negara terhadap teknologi baharu.
''Teater LogTech bukan sekadar sebuah fasiliti, tetapi ia adalah ruang untuk inovasi, pembelajaran dan kolaborasi,'' ujarnya lagi.
Comentarios