Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat-syarikat swasta turut memberikan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir sama ada dari segi dana atau menghantar jentera bantuan ke kawasan terjejas.
Menurut Perdana Menteri, setakat ini syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) di bawah Khazanah Nasional Bhd, Petronas, dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) telah menggerakkan semua syarikat di bawah mereka juga bank-bank tempatan telah mengambil langkah proaktif dalam membantu mangsa-mangsa yang terjejas.
"Ada baiknya dalam keadaan sekarang bukan saja dana, tetapi siap jentera. Biar setiap syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang turun juga ke gelanggang untuk melihat masalah kesusahan rakyat,tapoi dengan penuh kesabaran," katanya pada perhimpunan bulanan Bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Perdana Menteri berkata pihaknya berasa bangga kerana persiapan yang dilakukan oleh semua jentera kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan yang telah melakukan persiapan lengkap menghadapi bencana banjir sejak berbulan-bulan lamanya.
Beliau juga berasa terharu dengan ketabahan dan kesabaran mangsa-mangsa banjir yang terpaksa ditempatkan di pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).
"Bila saya jenguk mereka, tidak ada yang mengeluh, ini luar biasa padahal kita tahu mereka duduk (di PPS), petugas sudah tentu tidak mengeluh tapi yang terkesan...
"Mereka kata tak apa...(walau) air naik setakat pingang petugas, nanti surut kita balik...makan sedap.. Tanya kesihatan, mereka kata ada doktor, anak-anak juga dikawal dengan baik..
"Tentu dalam 153,000 orang ini besar ada satu dua orang yang mengeluh tapi ini umumnya inilah kekuatan (rakyat Malaysia)... Sebab itu saya bangga," katanya.
Banjir mula melanda negara sejak minggu lepas dengan Kelantan paling teruk dilanda bencana itu yang merekodkan 85,778 mangsa banjir membabitkan 26,781 keluarga ditempatkan di 251 pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini.
Negeri-negeri lain yang dilanda bencana itu ialah Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka dan hari ini jumlah mangsa banjir direkodkan di sembilan negeri itu seramai 138,052 orang.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan bagi tindakan susulan pascabanjir yang dijangka bermula pertengahan bulan ini.
Beliau berkata berdasarkan laporan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, terdapat beberapa kawasan banjir yang sudah mulai surut.
"Ini (tindakan susulan) satu hal yang patut kita siap, bila surut tentunya ada tangungjawab memulihkan, sebab itu kita juga sediakan peruntukan tambahan untuk baiki sekolah-sekolah, pusat pemindahan sementara (PPS), kemudahan kebersihan tandas dan sebagainya," katanya.
Jelasnya, terdapat tindakan susulan yang perlu dilakukan pada pertengahan Disember ini setelah banjir surut kerana difahamkan terdapat kemungkinan bencana tersebut boleh melanda Pahang dan Johor pula.
留言