Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dilapor sedang menyemak semua pendaftaran syarikat induk dan anak-anak syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata semakan sedang dilakukan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), termasuk pematuhan terhadap penghantaran laporan tahunan dan penyata kewangan serta segala yang berkaitan.
"Siasatan berhubung GISBH di peringkat KPDN adalah terkait dengan akta di bawah kawal selia SSM iaitu Akta SSM dan kita sedang menyemak semua pendaftaran syarikat induk dan anak-anak syarikat termasuklah pematuhan mereka terhadap penghantaran laporan tahunan, kewangan dan sebagainya.
"Kita bekerjasama rapat dengan PDRM untuk melengkapkan siasatan, membantu PDRM apa-apa perkara yang terkait dengan akta di bawah bidang kuasa SSM," katanya dipetik.
Terdahulu Armizan ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Perasmian Menara SSM Perak di Ipoh pada Selasa.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menyempurnakan perasmian menara berkenaan.
Dalam perkembangan sama Armizan berkata, kementeriannya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memantau promosi produk berkaitan GISBH secara dalam talian atau medium lain.
Sekiranya terdapat ketidakpatuhan, kementerian itu akan membuat laporan rasmi kepada MCMC supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.
Selain itu Armizan menegaskan, syarikat berkaitan kumpulan itu akan dibatalkan jika dikesan melanggar peratusan SSM atau disabitkan kesalahan atas aktiviti yang melanggar kepentingan awam dan peraturan-peraturan semasa.
Comments