Syarikat bas ambil kesempatan naik harga tiket berdepan tindakan keras
- Suara Keadilan
- Mar 19
- 1 min read

Mana-mana syarikat bas ekspres yang sengaja mengenakan tambang berganda bagi perjalanan orang ramai pulang bercuti menyambut Hari Raya Aidilfitri penghujung bulan ini bakal berdepan tindakan tegas.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pihaknya sudah berkali-kali memberi peringatan kepada pengusaha supaya tidak menaikkan harga tambang sehingga menyusahkan orang ramai.
Justeru tegasnya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) sudah diarah menyiasat rungutan pengguna supaya tindakan tegas termasuk pembatalan lesen boleh dilaksana terhadap syarikat yang didapati cuba mengambil kesempatan.
"Di bawah peraturan semasa, terdapat dua jenis kategori perkhidmatan bas ekspres, iaitu jenis kategori ekonomi dan kategori eksekutif.
"Kadar tambang bagi kategori ekonomi memang dikawal selia dan ditetapkan oleh pihak kerajaan. Kadar tambang eksekutif adalah berdasarkan penawaran dan permintaan," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya hadir ke satu acara anjuran kementeriannya di Jerantut pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan rungutan orang ramai mengenai kadar kenaikan tambang bas ke destinasi Pantai Timur yang didakwa naik dua kali ganda sehingga mencecah hampir RM120.
Mengulas lanjut Anthony berkata, beliau kini menunggu laporan siasatan penuh daripada APAD dan sekiranya siasatan mendapat bas ekonomi menaikkan tambang, maka permit pengendalian pengangkutan syarikat bas berkenaan akan ditarik balik.
"Begitu juga bas eksekutif pun kita akan lihat. Kalau dia (syarikat) naik agak keterlaluan, kita akan ambil tindakan," katanya.
Sementara itu beliau mengingatkan orang ramai supaya membuat pilihan bijak semasa membeli tiket bas kerana harga tiket adalah berbeza mengikut jenis perkhidmatan yang ditawarkan kepada penumpang.
Komentáre