Tindakan pembangkang yang menolak mentah-mentah draf memorandum persefahaman (MoU) disifatkan sengaja 'hendak cari hal' dengan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berkata, syarat-syarat yang ditawarkan oleh Kerajaan Perpaduan sekiranya diteliti adalah munasabah dan sebenarnya tiada alasan sehingga draf itu ditolak.
"Draf disediakan telah dibincangkan dan diteliti secara profesional sebelum ditawarkan kepada pembangkang.
"Misalnya, kita minta sekiranya ingin dapat peruntukan Ahli Parlimen pembangkang yang kaya raya itu diminta isytiharkan harta. Tapi mereka tak mahu, mereka takut sebab itu mereka berdalih.
"Orang Melayu kata hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kita minta mereka isytihar harta, senang sahaja.
"Isytiharkan harta, kami beri peruntukan tapi, mereka degil, tak nak (isytihar harta)," katanya dipetik ketika ditemui pemberita pada Program Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Kota Kinabalu.
Pada Ahad, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan pembangkang menolak (MoU) berkaitan peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).
Keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama iaitu ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.
Susulan itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan kandungan draf kepada umum supaya ia boleh dinilai sendiri rakyat.
Comments