
Kenyataan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman bahawa seorang teknokrat wajar dilantik menjadi Perdana Menteri ke-11 mungkin menunjukkan beliau sendiri kurang yakin kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai calon terbaik untuk menduduki jawatan nombor satu negara itu.
Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi mempersoalkan mengapa sebagai pemimpin muda Pas, beliau sendiri tidak terfikir untuk menamakan Abdul Hadi sebagai calon Perdana Menteri.
"Apa yang peliknya adalah tatkala membaca kenyataan Syahir yang panjang berjela, saya menjangkakan beliau akan menamakan Presiden Pas sebagai calon yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ternyata jangkaan saya salah.
"Syahir sebaliknya bersilat kata dengan menyatakan bahawa beliau cenderung melihat seorang teknokrat untuk menjadi Perdana Menteri ke-11. Aneh bukan?" katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Syahir yang juga Ahli Parlimen Bachok dalam kenyataannya berkata,"PM Teknokrat, PM-11 bagi menggantikan PM-10, alternatif terbaik untuk Malaysia."
"Seorang profesional yang disegani, kompeten, berintegriti dan bermaruah - man of the word, man of integrity - kualiti seumpama Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim ataupun setarafnya."
Kenyataan beliau itu mengulas pendapat bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Seri Mohamad Nazri Aziz yang memberikan sokongan kepada Anwar sebagai calon PM-11 kerana bimbang tiada tokoh yang boleh menggantikan tempat beliau selepas PRU-16 termasuk dari UMNO sendiri.
Najwan yang juga Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Shah Alam berkata, selemah-lemah Bersatu yang merupakan parti kecil dalam Perikatan Nasional, pimpinan mereka masih bangga dan yakin - meski pun telah terbukti sebagai Perdana Menteri paling gagal dalam sejarah - untuk memposisikan Tan Sri Mahiaddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri dari PN.
"Saya dan rakan-rakan pimpinan dalam KEADILAN pun jika ditanya akan menjawab dengan penuh yakin dan tanpa ragu bahawa Datuk Seri Anwar calon yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia buat masa ini," ujarnya yang juga Exco Belia dan Sukan negeri Selangor.
Najwan berkata, Syahir sewajarnya bermuhasabah dan meminta maaf kepada kepimpinan dan anggota Pas yang barang kali telah terguris dengan kenyataan beliau yang secara terbuka dan tersirat merendahkan keupayaan serta kewibawaan presiden parti itu.
"Sebagai pemimpin Pas dan orang kanan Presiden Pas, Syahir seharusnya memiliki keyakinan terhadap kemampuan Tan Sri Abdul Hadi.
"Jika sekali pun Syahir benar-benar mahu melihat seorang teknokrat menjadi Perdana Menteri selepas Datuk Seri Anwar, apa yang pasti calon tersebut masih belum wujud dalam kalangan pimpinan Pas yang ada pada hari ini," katanya.
Comments