Oleh: Abdullah Zaid
Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan Sekolah Wanita (SWAN) yang ditubuhkan wanita KEADILAN adalah pelengkap bagi melahirkan generasi peneraju masa hadapan politik negara.
Jelasnya, mengambil semangat Reformasi yang digerakkan pada 1998, idea penubuhan SWAN adalah satu iltizam untuk mencungkil bakat-bakat wanita sebagai pewaris kepimpinan parti.
"Sekolah ini pelengkap kerana kita wujudkan dengan satu iltizam dan semangat ini yang kita mahu gilap bersama kita sehingga kita berjuang, dan akhir sekali dapat menjadi kerajaan.
"Jadi idea sekolah ini adalah perjuangan untuk memberi pencerahan dan mencungkil (bakat muda) potensi untuk mengubah negara ini," kata Dr Wan Azizah dalam perasmian majlis pelancaran SWAN di Hotel Everly, Putrajaya malam tadi.
Menurut Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu, dalam memaknai liku perjuangan, menjadi lumrah episod jatuh bangun dihadapi anggota parti namun beliau mengingatkan agar ikhtiar SWAN tersebut terus didokong oleh semua wanita.
"Sekolah ini adalah permulaan benih yang ditanam bagi mengilap bakat anak muda kita.
"Oleh itu, manfaatkan kebaikan yang ada kerana masa tidak menunggu kita. Jadi lakukanlah yang terbaik," ujarnya yang merasmikan penubuhan SWAN malam tadi.
Katanya, dalam melaksanakan agenda perjuangan tekad keikhlasan adalah kayu ukur penting dan tidak boleh dibeli justeru beliau mengingatkan semua pihak untuk menetapkan matlamat yang sama bagi merealisasikan tekad itu.
"Paling penting ikhlas, ia tidak boleh dibeli kalau kita ikhlas mungkin tidak dapat di dunia, inshaAllah di akhirat.
"Perjuangan itu adalah perjalanan panjang kerana itu kita mahukan anak muda memanfaatkan bakat yang ada untuk masa depan negara," ujarnya.
Untuk rekod, SWAN adalah platform untuk pendidikan berteras tujuh aspek antaranya politik, ekonomi, advokasi, demokrasi, perundangan, kesejahteraan dan personaliti keterampilan sebagai teras utama pendidikan itu khusus kepada golongan wanita.
Sekolah pendidikan itu akan melibatkan tujuh orang pakar yang bertindak sebagai tenaga pengajar.
Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek memaklumkan sesi pendaftaran bermula pada Jun ini dan terbuka kepada 100 penyertaan sebagai permulaan projek tersebut.
Comments