Kementerian Ekonomi sedang membangunkan satu rangka kerja strategi ekonomi biru yang dijangka siap menjelang akhir 2025.
Menterinya, Rafizi Ramli dipetik Bernama berkata, ekonomi biru melibatkan industri berkaitan laut seperti perikanan selain turut menggunakan laut sebagai sumber untuk menjana tenaga.
Ia turut boleh dikembangkan ke industri lain seperti kejuruteraan marin dan sebagainya.
"Ekonomi biru ini banyak terdapat di Kelantan dan Terengganu kerana kedua-dua negeri itu mempunyai pesisir pantai yang panjang," katanya dalam sidang media di Kota Baharu pada Ahad.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan sebelumnya hadir ke Sesi Libat Urus Rancangan Malaysia Ke-13, (RMK-13) Kementerian Ekonomi bersama Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim.
Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan barisan kepimpinan kerajaan Kelantan.
Mengulas lanjut mengenai strategi ekonomi biru beliau berkata, kedua-dua negeri berkenaan secara tradisinya telah lama terlibat dengan aktiviti perikanan.
"Oleh itu, saya harap kita dapat bersama dengan Kerajaan Negeri untuk melihat bagaimana kita hendak mendapatkan potensi daripada ekonomi biru ini setelah rangka kerja ini dimuktamad dan dilancarkan oleh Kerajaan Persekutuan," tambahnya.
Sementara itu pada sesi libat urus itu Rafizi memaklumkan sumber petroleum dan gas negara di Semenanjung ketika ini semakin berkurangan kira-kira 50%.
Berbanding lima hingga 10 tahun lepas, jumlah pengeluaran minyak di semenanjung ialah sebanyak 700,000 tong sehari berbanding kira-kira 350,000 tong sehari ketika ini.
"Dalam tempoh 10 tahun dah berkurang separuh dan akan kurang dengan lebih cepat," katanya.
Comments