
Perdana Menteri Datuk (PM) Seri Anwar Ibrahim memberikan penghormatan kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) Jimmy Carter yang meninggal dunia pada usia 100 tahun, semalam.
Beliau berkata bekas presiden AS itu merupakan seorang yang berani dalam melawan arus pemikiran konvensional elit politik di negaranya terutama membabitkan keamanan dan perang.
"Saya bersama para pemimpin lain bersedih atas kehilangan bekas Presiden AS, Jimmy Carter, sambil merayakan satu abad perkhidmatannya yang luar biasa kepada negaranya dan kemanusiaan.
"Bagi saya, yang paling menonjol tentang beliau ialah kesediaannya untuk menentang kebijakan konvensional elit politik Amerika dalam isu-isu paling penting berkaitan perang dan keamanan — sama ada dalam dialog dengan Cuba, memperjuangkan pelucutan senjata nuklear di Semenanjung Korea, atau mengecam pencerobohan Iraq pada 2003," katanya dalam hantaran di Facebook.
Perdana Menteri berkata keberanian yang ditunjukkan oleh Charter tidak dapat diraguikan oleh mana-mana pihak terutama dalam meletakkan prinsip mengatasi politik dalam isu Palestin.
"Beliau berani menghadapi perkara paling sensitif dalam politik Amerika dengan melabelkan amalan Israel di Palestin sebagai apartheid, jauh sebelum ramai pihak lain berbuat demikian," ujarnya.
Jelasnya Anwar, presiden ke-39 AS itu menghadapi kritikan hebat daripada lobi pro-Israel namun tetap teguh memperjuangkan penyelesaian dua negara dalam isu Palestin.
"Sehingga akhir hayatnya, beliau tetap tidak berganjak — menjadi kekuatan senyap yang tidak goyah untuk keamanan dan keadilan.
"Rakyat Amerika sering berkata mereka tidak lagi menghasilkan pemimpin seperti dahulu. Dalam kes Carter, ungkapan ini benar-benar tepat," ujarnya.
Comentários