![Sultan Sharafuddin bertitah mengingatkan rakyat menolak ajaran sesat. Foto FB Majlis Bandaraya Subang Jaya](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_279b179127264c7284de0c24445808a5~mv2.jpg/v1/fill/w_700,h_465,al_c,q_80,enc_auto/4449e2_279b179127264c7284de0c24445808a5~mv2.jpg)
Ajaran sesat yang masih mendapat tempat dalam kalangan rakyat mendukacitakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Baginda bertitah, meskipun banyak buku agama dikarang serta dicetak dalam bahasa Melayu namun masih banyak umat Islam terperangkap dengan maklumat salah.
"Di manakah silapnya kita sehingga kes yang melibatkan pengikut ajaran sesat semakin menjadi-jadi di negara ketika ini. Umat Islam akan ketinggalan dalam segala aspek kehidupan jika asyik terperdaya dengan ajaran agama yang berasaskan kepada unsur-unsur kurafat dan tahyul.
"Pengaruh yang menyesatkan ini mengakibatkan umat Islam semakin berpecah belah dan mudah ditindas oleh musuh-musuh Islam," titah baginda dipetik TMP sewaktu merasmikan Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, malam tadi.
Menurut Sultan Sharafuddin, penyelewengan akidah atau terlibat dengan ajaran sesat seharusnya tidak berlaku kerana umat Islam pada waktu ini terdedah pelbagai kemudahan peranti digital untuk mencari maklumat sahih khususnya berkaitan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.
"Kebanyakan buku berkaitan agama Islam yang berada di negara ini telah dicetak dan diterjemahkan dalam bahasa Melayu termasuk laman sesawang jika dibandingkan ketika zaman beta belajar agama dahulu," titah baginda.
Sementara itu, baginda juga mengingatkan pihak berkuasa untuk lebih peka dalam menangani ajaran sesat termasuk mengenakan tindakan undang-undang dengan lebih tegas agar ajaran seumpama itu tidak menyebabkan berlakunya perpecahan dalam kalangan umat.
"Perpaduan perlu menjadi teras utama kepada kehidupan umat Islam khususnya orang Melayu. Islam adalah satu agama yang cukup lengkap dan indah serta boleh menjadi asas kepada perpaduan sesebuah masyarakat," titah baginda lagi.
Mengiringi Sultan Sharafuddin ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Ahli Dewan Negeri Selangor serta pegawai atasan pihak berkuasa tempatan.
Comments