Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI di Kedah esok, 29 April 2023 akan diserikan lagi dengan kehadiran Sultan Kedah.
Hal itu dimaklumkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan.
"Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah telah berkenan untuk berangkat bercemar duli ke majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI yang akan berlangsung di negeri Kedah pada
Sabtu, tanggal 29 April," katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut Fahmi lagi, Kerajaan Persekutuan menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah untuk berangkat ke majlis berkenaan.
"Keberangkatan baginda pastinya akan menambah lagi seri Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI, sekaligus memberi peluang kepada rakyat Kedah untuk meraikan Aidilfitri bersama-sama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku," kata beliau.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Kerajaan Persekutuan di Kedah akan diadakan dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Semua rakyat Kedah dijemput hadir untuk bersama sama berhari raya dengan pemimpin peringkat persekutuan dan negeri.
Comments