Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti kemasukan tenaga pengajar sukarelawan Bahasa Inggeris dari Singapura bagi memastikan ia selari dengan dasar serta peraturan sedia ada.
Melalui kenyataan di Dewan Negara pada Khamis, KPM berkata, pengambilan sukarelawan itu hasil perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong pada Jun lepas dalam hubungan diplomasi antara kedua-dua negara dan ia akan dibiayai oleh kerajaan Singapura.
Sukarelawan berkelayakan sedang dikenal pasti bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran.
"Skim ini bertujuan untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid di kawasan miskin bandar, pinggir bandar dan luar bandar, termasuk Sabah dan Sarawak
"Penguasaan Bahasa Inggeris yang baik dapat membantu meningkatkan daya saing negara, memudahkan perdagangan di peringkat antarabangsa serta membolehkan akses kepada pengetahuan terkini khusus dalam bidang sains dan teknologi," kata KPM dalam jawapan bertulis.
Sementara itu sebagai menjawab soalan dikemuka Senator Datuk Seri Ti Lian Ker berhubung kesan pengambilan sukarelawan itu kepada graduan dan guru tempatan, KPM menegaskan ia tidak akan menjejaskan pengambilan dan penempatan graduan serta guru tempatan.
Untuk rekod, KPM pada Mei lalu menegaskan pihaknya pelaksanaan dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris) untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sambil memanfaatkan potensi ekonomi bahasa Inggeris sebagai bahasa global
Comments