top of page

Subsidi diesel meningkat 10 kali ganda akibat ketirisan - Amir Hamzah



Kerajaan mendedahkan penggunaan diesel bersubsidi meningkatkan 70% iaitu daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada tahun lalu sedangkan jumlah itu tidak setara dengan jumlah pemilikan kenderaan berasaskan bahan bakar itu di negara ini.


Peningkatan tersebut menyumbang kepada kenaikan 10 kali ganda subsidi diesel iaitu dari RM1.4 bilion pada 2019 kepada RM14.3 bilion pada tahun 2023.


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kerajaan percaya kenaikan besar penggunaan diesel bersubsidi itu adalah disebabkan ketirisan, sekali gus menjadi sebab utama untuk harga bahan bakar tersebut diapung sebagai mekanisme berkesan mengekang masalah tersebut.


"Kalau saya tengok daripada segi perkembangan ekonomi, dari segi kenaikan (jumlah) kenderaan diesel dalam negara, saya tidak boleh cari jumlah yang mengisi (kepada kenaikan 70% itu).


"Jadi kita memahami ada sebab lain kenapa volume (kuantiti) diesel naik mendadak sebanyak 70% dan kita rasa, sebab kenaikan besar ialah kerana terdapat banyak ketirisan yang berlaku dalam negara," kata Amir Hamzah dipetik Bernama.


Amir Hamzah berkata, perbezaan antara harga runcit diesel pada RM2.15 seliter dan harga pasaran (kira-kira RM3.50 seliter) turut dilihat sebagai peluang kepada sesetengah pihak untuk mengaut keuntungan lebih besar.


Katanya faktor perbezaan yang besar antara harga pasaran bahan api berbanding dengan negara jiran seperti di Thailand (RM4.12 seliter), Indonesia (RM4.73) dan Singapura (RM8.87) membuka peluang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk memindahkan bahan api berkenaan dari Malaysia ke negara lain.


"Jadi untuk kita mengurangkan ketirisan, cara yang paling logik sekali ialah kita apungkan harga. Bila kita (kerajaan) apungkan harga (diesel), perbezaan antara runcit dengan komersial tiada," katanya.


Beliau berkata bila jurang harga runcit dan komersial dapat dikurangkan, ia sekali gus menutup ruang bagi mana-mana pihak untuk mengambil kesempatan meraih keuntungan menerusi penjualan diesel bersubsidi.


Ketika ditanya bila mekanisme serta penyasaran subsidi diesel akan dilaksanakan, Amir Hamzah memberikan bayangan pelaksanaan itu akan dibuat ‘tahun ini’ tanpa mengulas lanjut.


Menurutnya, kerajaan menggunakan pendekatan 'seluruh kerajaan' iaitu kerjasama erat antara semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat bagi menjayakan penyasaran subsidi diesel itu.


Ini termasuk mempertingkat penguatkuasaan bagi mengatasi masalah ketirisan serta sebarang kegiatan pencatutan harga oleh peniaga untuk mengaut keuntungan melampau, katanya.


Amir Hamzah menekankan bahawa penyasaran subsidi yang sebelum ini secara pukal hanya akan dinikmati oleh pemilik kenderaan diesel yang layak.


Pada 21 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Perutusan Negara, dipetik sebagai berkata Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi diesel, sekali gus memberi penjimatan sekitar RM4 bilion setahun kepada kerajaan.


Bagaimanapun, penyasaran itu tidak melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak.


Di samping itu, kerajaan juga bersetuju untuk meneruskan pemberian subsidi diesel kepada sektor perniagaan tertentu yang menggunakan kenderaan komersial diesel, sekali gus mengawal risiko kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan.


Pada Isnin lepas, Amir Hamzah mengumumkan Program Bantuan Subsidi Madani atau BUDI Madani bermula pada 28 Mei dengan menyalurkan bayaran bulanan sebanyak RM200 kepada pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi daripada golongan B40 dan M40 di Semenanjung, seiring dengan pelaksanaan penyasaran subsidi bahan api.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page