Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan Persekutuan bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi atau polisi subsidi bersasar ke atas bahan api diesel melibatkan pengguna di Semenanjung Malaysia.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyasaran subsidi diesel tidak akan melibatkan pengguna di Sabah dan Sarawak memandangkan kebanyakan penduduknya menggunakan bahan api itu bagi urusan harian mereka.
Langkah tersebut katanya dijangka akan menjimatkan wang kerajaan RM4 bilion setahun.
"Di Semenanjung, bagi mengurangkan kenaikan mendadak harga barang, kita berikan subsidi kepada pengguna komersial termasuk 10 jenis kenderaan dan 23 pengangkutan di bawah sistem kawalan diesel bersubsidi.
"Maknanya pengusaha bas, teksi, nelayan akan terus dipelihara dengan subsidi, bantuan untuk membantu mereka. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada yang layak…petani kecil, pesawah.
"Yang tidak akan menerima manfaat dalam penyasaran ini adalah golongan T20, orang terkaya dan 3.8 juta warga asing," katanya dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, malam tadi.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Mac lalu mendedahkan negara sedang berdepan isu ketirisan subsidi diesel yang serius dan perlu ditangani segera.
Susulan itu kerajaan melalui KPDN melaksana projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0) melalui kaedah Fleet Card bagi menangani ketirisan subsidi bahan api tersebut.
Comments