Oleh: Abdullah Zaid
Tindakan kerajaan melaksanakan subsidi diesel bersasar bermula Mei ini bagi mengelak ketirisan tidak perlu dipertikaikan oleh pihak pembangkang.
Ketua Penerangan AMK Pulau Pinang, Abshar Nurasyraf berkata, biarpun langkah dan keputusan itu dilihat tidak popular namun ia perlu dilaksanakan bagi membendung masalah ketirisan diesel yang semakin meruncing dan berleluasa sehingga kerajaan terpaksa membelanjakan kira kira RM20 bilion untuk subsidi bahan api berkenaan pada 2024.
"Pada saya kita perlu sampaikan (subsidi) kepada golongan yang benar-benar memerlukan dan berhak, tetapi dalam masa yang sama kita juga perlu terus rasional dalam membela nasib rakyat.
"Sebelum ini, kita dapat lihat wujudnya pihak yang dikira mengambil kesempatan menerima manfaat besar dalam pemberian subsidi diesel ini sehingga kerajaan terpaksa menanggung kerugian yang tinggi kerana polisi subsidi pukal," katanya kepada Suara Keadilan.
Oleh itu, Abshar menyeru pihak pembangkang menjalankan fungsinya sebagai semak dan imbang dan bukannya menggunakan isu subsidi bersasar diesel itu sebagai modal politik.
"Pembangkang seharusnya memainkan peranan mereka yang relevan. Bukan dengan mengkritik dan memberi maklumat yang salah
"Perlu untuk mereka akui ketika mereka memegang tampuk kepimpinan dalam Kerajaan Persekutuan dahulu pun, tidak banyak langkah berani yang mereka lakukan, sebaliknya hanya langkah-langkah dan keputusan “popular” yang merugikan rakyat.
"Justeru, pihak pembangkang wajar mengeluarkan pandangan yang membina dan bukan hanya mencari modal politik murahan," ujarnya lagi.
Terdahulu, kerajaan menyatakan penggunaan diesel meningkat daripada 6.1 bilion liter pada 2019 kepada 8.4 bilion liter 2022 tetapi jumlah kenderaan diesel yang didaftarkan cuma meningkat 2.4% sepanjang 3 tahun.
Hal itu seolah olah berlaku 'penipuan' subsidi diesel pukal yang dibukyikan dengan banyaknya tangkapan terhadap penyeludup di sempadan dan penjualan diesel bersubsidi kepada industri besar oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Justeru, kerajaan sedang melakukan langkah rasionalisasi subsidi bagi mengurangkan tanggungan subsidi sebanyak RM20 bilion setahun ketika ini.
Comments