top of page

Suara Pemudi Di Tengah Gempita Pemuda



Oleh: Tyra Hanim


ULASAN: Sudah lama saya ingin garapkan pengalaman saya sepanjang tempoh Pemilihan KEADILAN pada kali ini.


Saya menyoal diri sendiri atas keputusan yang dibuat untuk bertanding jawatan Angkatan Muda KEADILAN pada saat akhir.


Bukan sekali dua saya dengar, bahawa tidak mudah menjadi pemudi dalam angkatan pemuda. Masih terngiang dalam ingatan saya mengiktiraf golongan ini sebagai wanita besi kerana ketahanan mereka berada di kalangan kumpulan yang majoritinya lelaki, sudah pastinya memerlukan kecekalan jiwa yang utuh.


Namun, prospek untuk menyertai pasukan yang terdiri daripada pelbagai kaum iaitu Ayuh Anak Muda menarik minat saya. Mungkin ramai yang berfikir bahawa saya hanya akan menjadi seperti pasu bunga, cuma memenuhkan kuota, layaknya sebagai sebuah optik dan tidak lebih daripada itu.


Berbeza dengan rakan rakan sepasukan yang sememangnya ahli politik sepenuh masa, saya bukanlah seorang ahli politik. Saya merupakan seorang profesional yang bergiat dengan politik kesamping luar waktu kerja. Sebagaimana wanita muda yang lain, saya bertungkus lumus mencari rezeki dan menguruskan keluarga dalam masa yang sama. Ditambah pula dengan komitmen saya turun naik mahkamah, semata mata demi memperjuangkan hak anak saya.


Berpolitik suatu kemewahan


Sejujurnya bagi wanita muda seperti saya, berpolitik adalah satu kemewahan, lebih-lebih lagi tanpa sistem sokongan. Lebih khusus tidak punyai keluarga atau nama yang berpengaruh yang boleh digunakan sebagai ‘political capital’, sementelah saya juga tidak datang daripada legasi.

Tyra Hanim

Saya berasal dari salah satu negeri termiskin di Malaysia di sebuah negeri di Pantai Timur. Tetapi saya sentiasa membawa misi khidmat kepada negara dan saya belajar kerumitan untuk memecah tembok status quo di sepanjang perjalanan. Ianya keazaman yang sama saya miliki ketika saya membawa anak perempuan saya yang berusia 10 bulan yang masih disusukan untuk melanjutkan pelajaran di United Kingdom.


Saya masih ingat saya menggendongnya di bahu saya, mengambil penerbangan 16 jam dari Malaysia ke Aberdeen hanya dengannya ketika musim panas di Scotland, supaya saya boleh menyudahkan penulisan disertasi sarjana saya tentang rasuah dan kapitalisme kroni di Malaysia.


Dengan izin Allah jua, sejak penglibatan saya dalam aktivisme dan politik, saya sudah merasai pengalaman menjadi satu-satunya perempuan di khalayak, yang paling muda, atau juga satu-satunya perempuan Melayu Islam yang bertudung, atau yang punya idea yang berbeza tetapi moderat dalam banyak keadaan yang memisahkan saya dengan norma kebiasaan. Mengutip pengalaman pengalaman itulah, saya mengumpul keberanian untuk menjadi satu-satunya wanita yang bertanding bagi pimpinan AMK pusat kali ini.


Punya sejarah panjang keadilan


Saya harus menyebut bahawa saya tidak akan berada di sini jika bukan kerana Fahmi Zainol, yang saya kenal sejak zaman mahasiswa lagi. Kami mengasaskan gerakan mahasiswa yang dinamakan, Anak Muda Harapan Malaysia (AMHM) dan dengan platform itu, kami telah diiktiraf dan berpeluang berjumpa dengan Pesuruhjaya Tinggi United Kingdom, Puan Vicki Treadell di kediaman rasminya.


Atas kepercayaan, perancangan dan strategi Fahmi Zainol, saya bersetuju untuk menjadi sebahagian daripada pasukannya. Malah setiap daripada ahli pasukan kami adalah pemuda yang punya sejarah panjang dalam Keadilan, yang saya kenal sepanjang penglibatan saya dalam aktivisme dan politik kepartian. YB Chua Wei Kiat seperti saudara saya – yang sangat mengambil berat ketika kami berada di beberapa negara yang berbeza dalam tempoh menamatkan siri latihan Konrad Adenauer School of Young Politicians (KASYP).


Izuan Kasim, saya mengenalinya sebagai seorang yang pendiam tetapi berfikiran tajam, ketika pertama kali bertemu dengannya di Sekolah Politik oleh Institut Kajian Dasar (IKD) pada tahun 2013. Prasanth Kumar, yang paling muda dalam kalangan kami, tetapi telah menjadi calon dalam pilihan raya negeri – seorang berdedikasi dan rajin yang saya kenali melalui biro AMK.


Demikian, dalam banyak keadaan, saya memberanikan diri, untuk menjadi satu-satunya wanita, dalam kalangan pemuda. Belajar untuk memulakan perbualan dengan mereka, memahami kebimbangan mereka sebagai seorang individu dan harapan mereka kepada negara – juga memahami liuk lentok bahasa dan jenaka mereka. Demi untuk menjadi sebahagian daripada mereka, menjadi pemimpin mereka. Menghasilkan coretan bukanlah sesuatu yang mudah apatah lagi untuk melaksanakannya.


Persoalan yang sentiasa bermain di fikiran saya adalah, bagaimanakah mereka menanggapi saya? Adakah mereka akan menghormati idea dan perspektif saya? Bolehkah mereka menerima saya sebagai wakil suara anak muda? Mungkin ini adalah harga yang perlu dibayar demi negara dan perjuangan reformasi yang saya junjung tinggi. Seseorang itu bukanlah seorang pemimpin tanpa mendobrak batas – batas selesa yang ada.


Perlawanan pilihan raya umum bermula


Dengan berkat doa dan izin Tuhan, serta dokongan keluarga, rakan dan mentor, saya sudah berjaya memecah tembok yang membelenggu. Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk memenangi undi tertinggi bagi Naib Ketua AMK walaupun terdapat banyak usaha sabotaj yang dilakukan.


Seperti firman Allah, ‘Mereka merancang , Allah juga merancang , sesungguhnya Allah sebaik-baik perancang’ (3:54)


Hati saya tetap dan masih rawan, ketika ketiga-tiga calon Naib kumpulan kami berjaya dipilih, tetapi calon Ketua dan calon Timbalan kami tidak. Saya berterima kasih kepada hampir 13 ribu ahli yang mengundi saya. Hakikatnya AyuhMalaysia, AyuhAnakMuda, Rafizi Ramli, Fahmi Zainol, Chua Wei Kiat, Izuan Kasim, dan Prasanth Kumar telah memberikan ruang dan peluang yang tidak ternilai untuk saya. Jika bukan kerana sokongan dan bimbingan mereka, tidaklah saya berada di sini hari ini.


Pasukan ini tidak terbentuk sekelip mata, gerak kerja pasukan sudah lama bermula. Kami merupakan kawan dan rakan seperjuangan, jadi kepercayaan itu sudah wujud sebelum kami memulakan misi bersama. Beberapa minggu kebelakangan ini, saya melihat mereka bekerja tanpa lelah termasuk menyantuni hampir setiap pelusuk negeri untuk bertemu ahli parti, memahami sentimen, isu, dan kebimbangan anak anak muda dalam parti, tidak lupa juga mendengar aspirasi dan harapan mereka kepada kepimpinan AMK dan Keadilan keseluruhannya. Tidak akan saya lupakan sepanjang hidup saya, melihat mata Fahmi Zainol bengkak selepas kemalangan di Kelantan namun masih meneruskan lawatan ke cabang-cabang yang berlangsung pengundian semula.


Di tengah gempita pertandingan politik, nilai murni seperti setia, teruji dan setiakawan tidak harus dilupakan. Apa guna menang jika kawan ditikam belakang sewenangnya, atau diakhirnya kita jadi musuh politik yang tidak punya arah tujuan.


Suara pemudi di tengah khalayak pemuda, akarnya sudah menapak, yang harus dilakukan oleh saya dan pimpinan muda adalah cekal dengan tekad reformasi – semboyan perang sudah berbunyi, ada perlawanan yang harus kita mulakan.


Terima kasih kepada semua ahli akar umbi atas kepercayaan yang diberi. Kami percaya, tekad reformasi negara hanya boleh dilaksana dengan hati yang ikhlas dan prinsip perjuangan yang bersih. Seperti nasihat buya Hamka dalam buku Lembah Cita-Cita: "Kemunduran negara tidak akan terjadi kalau tidak kemunduran budi dan kekusutan jiwa."


________________________________________________________________________________

Penulis merupakan calon Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan telah diumumkan secara tidak rasmi sebagai penyandang jawatan.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page