![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_f024127d0b144685b44312d32f76283e~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_440,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_f024127d0b144685b44312d32f76283e~mv2.jpg)
Cadangan penambahbaikan sistem struktur gaji penjawat awam dijangka dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan selewat-lewatnya pada awal suku kedua tahun ini.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan berkata keputusan itu dijangka diumumkan untuk pembentangan Belanjawan 2025 pada tahun ini.
"Penjawat awam di segenap lapisan perkhidmatan masih boleh mengemukakan cadangan penambahbaikan sistem saraan sedia ada meliputi segala aspek melalui portal semakan yang dilancarkan pada 7 Ogos 2023 di pautan semakansaraan.jpa.gov.my sebelum 1 Mac ini," kata kenyataan itu hari ini.
Terdahulu kenyataan itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) Bilangan 2/2024 di Putrajaya semalam.
Turut hadir Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Kata JPA, mesyuarat tersebut telah membincang dan menimbang inisiatif-inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutama berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.
"Penambahbaikan pendapatan boleh guna penjawat awam merupakan salah satu fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasyakan aspirasi Malaysia MADANI," katanya.
Kata kenyataan Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberikan penekanan kepada elemen pembaharuan perkhidmatan awam seperti pendigitalan, kerjasama strategik holistik dan pendekatan keseluruhan negara.
"(Ia) bagi memacu perniagaan kecepakan, keberkesanan dan profesionalisme perkhidmatan awam dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.
Comments