Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu isu penjualan stokin tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka baru-baru ini segara diambil tindakan berdasarkan undang-undang.
Pendirian tegas itu dinyatakan Anwar kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa MADANI bersama pengamal media di Seri Perdana malam tadi.
"Pandangan saya jelas, ada laporan keterlanjuran mesti ada tindakan segera, keputusan ikut jalur hukum dan maju terus, kenapa kita harus terperangkap dengan isu ini berpanjangan?
"Ada laporan ambil tindakan, jangan ada penghinaan terhadap agama... apa lagi Islam.
"Jadi jangan kita terus-menerus dengan perbincangan ini seolah-olah ia satu malapetaka besar di dalam negara," katanya.
Baru-baru ini, tular video dan tangkap layar gambar stoking yang tertera kalimah Allah tular menerusi media sosial sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam.
Pihak terlibat telah membuat permohonan maaf dan setakat ini, 80 laporan polis telah dibuat di seluruh negara. Polis juga sudah merakam keterangan lapan individu termasuk pemilik dan pengasas KK Supermart & Superstore Sdn Bhd berhubung isu tersebut.
Σχόλια