
Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengurangkan tempoh menunggu bagi menduduki peperiksaan ulangan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu calon perlu menunggu sehingga tempoh setahun untuk menduduki peperiksaan bagi mata pelajaran yang terlibat.
"Cadangan pelaksanaan STAM Ulangan ini diharapkan mampu meningkatkan motivasi calon untuk menduduki peperiksaan ulangan bagi memperbaiki keputusan.
"... seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian Islam di institusi pendidikan tinggi dalam dan luar negara, khususnya di Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan," katanya dipetik pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat pada Selasa.
Pada sesi itu Kah Woh berkata memaklumkan, bilangan calon berdaftar peperiksaan STAM menunjukkan trend peningkatan iaitu 4,507 pelajar pada tahun lepas berbanding 4,058 pelajar pada 2023
Sementara itu bagi memastikan keberkesanan dan kebolehlaksanaan peperiksaan STAM Ulangan, KPM jelasnya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak Universiti Al-azhar Mesir.
"Syarat pensijilan STAM yang mewajibkan pelajar lulus semua 10 mata pelajaran sekurang-kurangnya pangkat maqbul (lulus) adalah tertakluk kepada peraturan dan ketetapan oleh Universiti Al-azhar Mesir berdasarkan memorandum persefahaman sedia ada.
"Calon yang tidak memenuhi syarat penganugerahan sijil berpeluang untuk memperbaiki keputusan mereka bagi memenuhi pensijilan atau memperbaiki pangkat mata pelajaran dalam tempoh tiga tahun," tambahnya.
댓글