Siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap hakim Mahkamah Rayuan, Datuk nazlan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Calon Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek berkata, sebagai badan penegak hukum SPRM sepatutnya maklum mengenai peruntukan undang undang yang menetapkan dakwaan salahlaku hakim perlu ditangani oleh tribunal khas.
"Saya merujuk laporan SPRM sedang melakukan siasatan terhadap seorang Hakim Mahkamah Rayuan yang mana tindakan SPRM ini bertentangan dengan Perlembagaan serta melanggar doktrin pengasingan kuasa.
"Terdapat mekanisme khusus seperti Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan untuk mengurus dakwaan salah laku hakim mengikut aturan yang sewajarnya.
"Berdasarkan Perkara 125 tersebut, jika terdapat mana-mana perlanggaran terhadap etika atau salah laku, maka dakwaan tersebut boleh ditujuk kepada tribunal atau suatu badan yang ditubuhkan di bawah undang-undang Persekutuan untuk mengendalikan perlanggaran tersebut," katanya.
Menurut senator dewan negara itu lagi, hanya tribunal yang selayaknya berkuasa ke atas hakim.
Sebarang pelanggaran Perlembagaan, kata Fadhlina boleh menyebabkan terhakisnya kepercayaan rakyat kepada undang undang negara.
"Segala dakwaan, kritikan dan maklumat terkait rapat dengan dakwaan salah laku mana-mana pegawai kehakiman mestilah melalui saluran yang betul mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan bagi memastikan ia dapat ditangani dengan berkesan.
"Dalam masa yang sama tuduhan-tuduhan liar terhadap institusi kehakiman mesti dikawal dan diuruskan agar tidak menimbulkan kesangsian awam serta meruntuhkan kepercayaan terhadap kebebasan serta integriti institusi kehakiman.
"Saya menggesa isu dakwaan salah laku ini diurus dengan cermat dan berhati-hati untuk mengelakkan terhakisnya kepercayaan rakyat kepada Perlembagaan dan demi mempertahankan keutuhan integriti badan kehakiman negara," katanya lagi.
コメント