![](https://static.wixstatic.com/media/4449e2_ad275d5b80084877a9feb0a6c1959807~mv2.jpg/v1/fill/w_660,h_440,al_c,q_80,enc_avif,quality_auto/4449e2_ad275d5b80084877a9feb0a6c1959807~mv2.jpg)
Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Ketua Audit Negara lebih tegas dan “menerobos” secara menyeluruh ke semua agensi dan badan berkanun Persekutuan bagi mengelak berlakunya pelanggaran tatakelola dan rasuah.
Perdana Menteri berkata isu pelanggaran tatakelola masih berlaku dan tidak terhad hanya kepada pengurusan yang membabitkan pelantikan politik, sebaliknya kumpulan profesional dan penjawat awam juga.
"(Ada dakwaan) kerana lantikan orang politik, ini tidak benar kerana ada professional cheaters (penipu), ini kaedah tatakelola ada penjawat awam dan lantikan politik, saya tidak mahu ia terikat.
"Kita lantik baik orang politik, profesional atau penjawat awam, asalkan dia ikut peraturan dan dipantau dengan teliti oleh wakil Kementerian Kewangan (MOF), Ketua Audit Negara dan SPRM.
"SPRM dan Ketua Audit Negara diminta lebih tegas dan menyeluruh menerobos semua agensi dan kementerian selepas ini," katanya dipetik BH pada Majlis Peluncuran Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azman Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata bagi membolehkan Jabatan Audit Negara melakukan pemantauan lebih menyeluruh, kerajaan akan memberikan peruntukan tambahan bagi memastikan agensi Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan dapat selari dengan anjakan paradigma yang dilaksanakan.
Katanya langkah itu juga bagi memastikan operasi agensi atau badan berkanun pada masa depan lebih telus serta mengelak daripada berlakunya rasuah dan tindakan mengaut keuntungan semata-mata.
"Agensi-agensi ini penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi, terutama pada peringkat awal untuk bantu Bumiputera, tetapi pelanggaran peraturan dan kecenderungan untuk mengaut keuntungan berlebihan menyebabkan hak dan kepentingan Bumiputera dikhianati, ini kita bimbang," katanya.
Perdana Menteri turut menggesa badan berkanun Persekutuan bersifat lebih telus dengan melihat semula struktur dan matlamat penubuhan masing-masing serta mengelak daripada melakukan tindakan yang melanggar tatakelola.
Beliau berkata pengurusan setiap agensi berkanun Persekutuan menilai semula matlamat dan pengalaman lalu dan bertindak untuk memastikan bagaimana manfaat dapat terus sampai kepada rakyat.
Jelasnya secara keseluruhannya prestasi badan berkanun Persekutuan agak membanggakan, namun terdapat ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan penubuhannnya tidak menyimpang daripada matlamat asal.
Beliau memberi contoh berdasarkan laporan yang diterima daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa terdapat sebuah agensi yang sepatutnya membantu orang miskin sebaliknya menubuhkan 79 anak syarikat yang tidak membuat kaitan dengan tujuan asal penubuhannya.
"Daripada 79 anak syarikat, lebih 50 mengikut laporan Datuk Seri Ahmad Zahid, yang buat kajian, (laporan) sampai kepada beliau, mengalami kerugian tahun demi tahun tetapi pengerusi lembaga dapat elaun tetap.
"Jadi maknanya kalau pengerusi lembaga dapat elaun RM5,000 atau RM1,000, semua 79 syarikat juga dipengerusikan beliau (pengerusi lembaga) akhirnya dia dapat RM79,000 sebulan," katanya.
Anwar berkata pelanggaran tatakelola itu sudah dihentikan tetapi beliau bingung mengapa perkara tersebut boleh berlaku.
"Pengurusan setiap agensi berkanun Persekutuan perlu menilai semula matlamat dan pengalaman lalu dan bertindak untuk memastikan bagaimana manfaat dapat terus sampai kepada rakyat," katanya lagi.
Comments