Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).
Perkara itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan dan tarikh penting berkaitan PRK Sungai Bakap di Menara SPR di Putrajaya hari ini.
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff, 56, pada 24 Mei lepas menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya (HSJ) kerana mengalami keradangan dalam perut.
PRK Sungai Bakap merupakan PRK kelapan yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Azmi berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan senarai Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) Tambahan April 2024 yang dikemas kini hingga 24 Mei lepas.
Beliau berkata PRK itu melibatkan 39,279 pemilih terdiri daripada 39,222 pengundi biasa dan 57 anggota polis.
Menurutnya PRK DUN Sungai Bakap memerlukan peruntukan RM2.1 juta dengan 522 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pilihan raya kecil itu yang melibatkan sembilan pusat mengundi.
Katanya pusat mengundi itu mengandungi 65 saluran serta satu tempat mengundi dan saluran awal.
Azmi berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK DUN Sungai Bakap ialah di Dewan Serbaguna Jawi, Taman Desa Jawi.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 22 Jun hingga 11.59 malam pada 5 Julai.
"Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuhkan SPR bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen," katanya sambil menambah pasukan itu dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon bertanding.
Menurut Azmi, urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu akan dibuka bermula hari ini secara dalam talian.
Tarikh tutup permohonan pula ialah pada 20 Jun bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media), 13 Jun bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 13 Jun bagi kategori 1C (agensi/organisasi).
Semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dilakukan melalui portal di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 yang mula dibuka pada 18 Jun.
Comments