Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggeri, Kelantan akan diadakan pada 17 Ogos dengan kempen selama 14 hari selepas penamaan calon dijalankan pada 3 Ogos ini.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun selepas mengadakan mesyuarat khas mengenai PRK tersebut di Putrajaya hari ini.
Dalam sidang media selepas mesyuarat tersebut, beliau turut mengumumkan proses pengundian awal PRK tersebut dijadualkan pada 13 Ogos.
"Bagi maksud PRK Dewan Negeri N.43 Nenggiri, Kelantan, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang digunakan adalah di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang," kata beliau.
PRK tersebut diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah berhubung dengan kekosongan luar jangka kerusi Dewan Negeri N.43 Nenggiri.
DUN Kelantan pada 13 Jun lalu menerima notis bertulis daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu mengenai ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang hilang keahlian partinya.
Ramlan yang baru dilantik ke jawatan tersebut pada Rabu lalu berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK Nenggiri adalah senarai pemilih terkini termasuk daftar tambahan April yang dikemaskini hingga 18 Jun lepas.
"DPPR ini mengandungi seramai 20,259 orang pemilih terdiri daripada 20,245 pengundi biasa dan 14 anggota polis. DPPR bagi PRK Nenggiri akan mula dijual pada 29 Julai ini (Isnin)," jelasnya.
Ramlan menjelaskan urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu dibuka bermula dari hari ini manakala tarikh tutup permohonan Petugas Pilihan Raya,Ahli/Pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas Media pada 30 Julai (Selasa) manakala warganegara Malaysia yang di luar negara dan agensi pada 23 Julai.
"Permohonan undi pos adalah secara dalam talian. Maklumat lanjut dan panduan permohonan undi pos boleh dirujuk melalui Portal SPR, www.spr.gov.my," katanya.
Jelasnya seramai 431 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu dengan 21 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 47 tempat mengundi/saluran termasuk sebuah pusat mengundi awal akan dibuka.
"PRK Nenggiri memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta," ujarnya.
Para pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7218 atau melalui aplikasi MySPR Semak. Semakan maklumat pengundian akan dibuka pada 29 Julai (Isnin).
Comments