Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memberi alasan yang masuk akal mengapakah memilih 2 padang bola di parlimen Lembah Pantai sebagai pusat mengundi, sedangkan terdapat dewan komuniti yang lebih selesa dan selamat untuk tujuan berkenaan.
Calon Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mahu SPR memberi alasan rasional penggunaan 2 padang berkenaan, yang dikatakan hanya berlaku di parlimen Lembah Pantai dan tidak di parlimen lain seluruh Wilayah Persekutuan.
Katanya, SPR tidak boleh berkompromi dengan keselesaan atau keselamatan pengundi yang membabitkan 15 saluran dan hampir 10,000 pengundi yang akan membuang undi di kedua dua padang berkenaan.
"Bagi tujuan hari mengundi 19 November sebenarnya padang ini agak terbuka. Kita ada laluan dari semua sudut. Walaupun ada pagar tetapi ada ruang yang terbuka. Kita juga tidak tahu apa akan berlaku pada waktu malam waktu kiraan undi yang saya risaukan aspek keselamatan.
"Saya bertanya calon lain di Kuala Lumpur, dan setahu saya lembah Pantai sahaja yang padang bola digunakan sebagai tempat mengundi.
"Sebenarnya ada alternatif . Misalnya pusat komuniti Lembah Pantai kurang 2 km dari sini, dan ia agak sesuai serta sering digunakan untuk majlis besar dan tidak mendatangkan apa apa kerosakan padang, aspek keselamatan tidak menjadi isu (di sana)," katanya dalam sidang media membawa wartawan meninjau kondisi padang PPR Kerinchi.
Sementara itu di lokasi padang bola Kampung Pasir pula, kata Fahmi, terdapat ahli Umno yang membantah keputusan SPR menggunakan padang itu sebagai pusat mengundi kerana lokasi berkenaan terkenal sebagai tempat pertama yang dinaiki air sekiranya berlaku banjir kilat
"Saya terima aduan dari orang Umno yang tidak setuju padang Kampung Pasir digunakan sebagai pusat mengundi.
"Alasan mereka kerana padang itu paling dekat dengan tempat bermula banjir. Kawasan Kg Pasir telah mengalami 2 kali banjir dan banjir bermula dari kawasan padang itu.
"Bila saya bangkitkan kepada SPR, cara selesaikan masalah dengan pasang lantai kayu. Pada masa sama kurang 100 meter, ada ban yang telah terhakis. Kita telah beritahu pihak JPS tetapi sehingga ke hari ini kerja kerja baik pulih belum selesai. Ini bagi saya tempat berisiko.
"Saya nak tahu adakah pihak SPR tahu kawasan itu pernah dilanda banjir," katanya.
Selain soal keselamatan dan keselesaan pengundi yang akan meredah padang berlumpur pada hari mengundi Fahmi juga bertanya apakah perancangan SPR bagi pengundi OKU atau yang berkerusi roda.
Terutama sekiranya hujan lebat pada hari sebelum mengundi dan padang tersebut tidak boleh dilalui dengan sewajarnya.
Beliau juga bertanya kepada SPR adakah pihak suruhanjaya itu akan membaik pulih padang berkenaan, kerana pada 2018 lalu kerajaan BN pernah menggunakan padang PPR Kerinchi dan selepas program padang itu musnah serta memerlukan ratusan ribu ringgit kos pembaikan dan tidak dibaik pulih sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Comments