Oleh: Akmal Manaf
Pembangkang dalam isu menangguhkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu lebih realistik mengkritik.
Menurut Pengarah Komunikasi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam, amat tidak wajar pembangkang menghentam keputusan kerajaan meneruskan peperiksaan SPM ketika negara dilanda bencana banjir kononnya dibuat tanpa rasa belas kasihan.
Beliau menegaskan, sebarang keputusan yang besar dan penting khususnya melibatkan organisasi tidak terletak kepada penilaian peribadi individu semata-mata, sebaliknya diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dan setelah mendapat pelbagai input daripada agensi kerajaan yang berkaitan.
"Benda ini (keputusan teruskan SPM) masuk dalam mesyuarat Kabinet dan ianya keputusan yang semua orang ambil termasuk daripada UMNO.
"Untuk makluman semua, terdapat seramai 402,956 calon yang mendaftar untuk SPM 2024.
"Daripada jumlah itu, 5,377 calon sahaja, atau cuma satu peratus yang terjejas akibat banjir. Ini bermakna, 99 peratus calon SPM tidak menerima apa-apa kesan kejadian banjir yang berlaku.
"Tetapi adakah ini bermakna kita kena abaikan satu peratus itu? Tidak juga, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak mengabaikan satu peratus itu," katanya dalam satu siaran video di media sosial.
Dalam siaran itu, Lokman turut mempersoalkan adakah adil dan patut mengarahkan 99 peratus calon yang tidak terkesan dengan banjir menangguhkan peperiksaan tersebut.
"Adil ke kita kepada 99 peratus calon atau 397, 579 calon lain yang tidak terkesan dengan banjir?
"Adakah kita patut suruh yang 99 peratus itu tangguh SPM sedangkan mental mereka sudah bersedia untuk menghadapi SPM, tiba-tiba kerana satu peratus itu (terkesan banjir) semua kena ikut.
"Keupayaan untuk memahami perasaan orang lain atau pun empati tetap menjadi asas pertimbangan, malah pendekatan yang diambil adalah untuk berlaku adil kepada semua pihak dengan rasa ihsan kepada semua calon dan pihak terlibat," jelas beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Terdahulu, KPM menerusi menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan Ujian Bertutur Bahasa Melayu SPM yang dijadualkan bermula 2 Disember akan diteruskan walaupun dalam situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini.
Ujarnya, pihak KPM sudah bersiap siaga sepenuhnya bagi memastikan kelancaran SOP Ops Payung buat semua calon yang menduduki peperiksaan itu.
Comments