Oleh: Azuan Ab Rahman
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek membidas pihak yang cuba memainkan sentimen dalam isu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada musim banjir.
Melalui satu kenyataan Fadhlina berkata, Kerajaan Madani telah melakukan sedaya upaya usaha untuk mengurangkan impak banjir terhadap calon terbabit dengan memindahkan mereka ke penempatan selamat dan diberikan kemudahan terbaik termasuk buku, internet dan komputer.
Justeru musibah yang menimpa negara ketika ini bukan masa untuk cuba mengambil kesempatan bermain politik untuk meraih sokongan.
"Kerajaan Madani melakukan sedaya upaya dengan mekanisme yang ada untuk mengurangkan impak banjir terhadap 1.3% calon SPM (5,377 orang) di kawasan terjejas agar mereka dapat menduduki peperiksaan SPM bersama 98.7% (402,956 orang) calon SPM di seluruh Malaysia.
"Keputusan sukar terpaksa diambil setelah mengambil kira kesan dan impak rantaian yang bakal tercetus jika peperiksaan SPM ditangguhkan.
"Pada detik genting ini, marilah kita mengharungi ujian ini bersama. Saya cukup faham dengan sentimen massa yang empati dengan calon SPM yang terjejas namun harus saya ingatkan juga kepada sesetengah pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman bahawa ini bukannya masa untuk menangguk di air keruh," katanya.
Media sebelumnya melaporkan proses pemindahan 5,377 calon SPM bagi ujian bertutur bahasa Melayu di negeri terjejas banjir selesai sepenuhnya pada Ahad tanpa ada yang tercicir.
Proses pemindahan melalui Op Payung itu dilaksana dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) membabitkan antaranya Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihak berkuasa polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
"Saya mendoakan agar anak-anak kita yang diuji ini diberi ketabahan, kesabaran dan kecerdasan dalam menghadapi peperiksaan serta dipermudahkan dalam menjawab setiap soalan dengan lancar.
"Kepada calon-calon SPM di kawasan terjejas, satu Malaysia mendoakan anda. Anda tidak keseorangan, kita sentiasa ada bersama anda," tambah Fadhlina menerusi kenyataan tersebut.
Σχόλια