Kementerian Pelajaran (KPM) memaklumkan, mana-mana calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terjejas banjir boleh menduduki peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata keputusan itu bagi memastikan kesemua calon SPM dapat menduduki peperiksaan berkenaan yang dijadualkan bermula Isnin ini.
"Setakat ini, segala persiapan menjelang SPM berjalan lancar termasuk di Kelantan yang kini dilanda banjir.
"Bagi calon yang sekolah mereka mungkin terjejas banjir, mereka boleh menduduki peperiksaan itu di pusat peperiksaan alternatif supaya tiada calon yang tercicir," katanya dipetik ketika melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, di Kota Bahru pada Jumaat.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya sudah menyelaras untuk trak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digunakan bagi mengambil calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di pedalaman ke pusat peperiksaan.
Justeru beliau memohon guru dan pengetua supaya dapat koordinasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) agar perkara itu dapat dilaksana dengan lancar.
Peperiksaan SPM 2024 akan bermula Isnin ini hingga 6 Februari depan.
Seramai 402,956 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2024 yang membabitkan 3,337 pusat peperiksaan di seluruh negara, dengan 126,636 petugas dilantik bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan.
Comments