Oleh: Abdullah Zaid
Semua pihak diingatkan untuk tidak membuat spekulasi awal berhubung kenaikan gaji kakitangan awam yang dijangka diumum pada 16 Ogos depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr. Zaliha Mustafa berkata, pihaknya memohon orang ramai untuk bersabar susulan mesej palsu yang tular mengenai kenaikan gaji kakitangan awam di aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.
"Beberapa pengumuman penting hasil daripada Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) akan diumumkan oleh YAB Perdana Menteri pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-19 (MAPPA XIX) pada 16 Ogos 2024 di PICC.
"Semua pihak dimohon bersabar menanti pengumuman ini, dan tidak berspekulasi terlebih dahulu, serta jangan menyebarkan WhatsApp yang tidak pasti," katanya di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Tan Sri Dr Mohammed Haniffa Abdullah mengenai status terkini kerajaan menyelaraskan gaji baharu penjawat awam.
Selain itu, menjawab soalan asal jumlah
kakitangan awam berstatus tetap, Zaliha berkata jumlah terkini di semua gred yang direkodkan adalah 1,260,429 orang.
"Walau bagaimanapun, data ini adalah terhad kepada Status Jawatan Berwaran Tetap, sehubungan itu, Skim Perkhidmatan Polis dan Tentera adalah tidak termasuk," ujarnya.
Secara perincian kata beliau, Kumpulan Pengurusan Tertinggi melibatkan pegawai di Gred JUSA C dan ke atas adalah 3,967 orang, manakala, Kumpulan Pengurusan dan Profesional melibatkan pegawai di Gred 41 sehingga Gred 56 seramai 563,634 orang.
"Bagi Kumpulan Pelaksana, melibatkan pegawai di Gred 40 dan ke bawah pula adalah 692,828, orang julat pengisian tertinggi seramai 702,679 pada tahun 2020 dan pengisian terendah seramai 687,645 pada tahun 2022," ujarnya.
Comments