Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dianggap tidak silap dalam membuat keputusan mengekalkan enam Ahli Parlimen bekas anggota Bersatu kerana hal itu sejajar dengan peruntukan dalam Perkara 49a(2) Perlembagaan Persekutuan.
Berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan, seseorang anggota Dewan Rakyat tidak terhenti keanggotanya disebabkan pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politiknya, pelepasan keanggotaan parti apabila dipilih sebagai Yang di-Pertua atau dipecat daripada parti.
Sebaliknya, bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam, pemimpin Bersatu yang tersilap memecat keenam-enam wakil rakyat tersebut sehingga membuatkan mereka kini bebas menentukan sokongan kepada mana-mana blok sama ada kerajaan atau pembangkang.
"...kesilapan besar Bersatu bila mereka gugur keahlian enam Ahli Parlimen itu, mereka bukan hanya tidak terikat kepada Akta Anti Lompat Parti...kalau mereka sertai PKR, DAP atau UMNO keahlian boleh gugur, tetapi sekarang bila keahlian mereka digugurkan mereka bebas untuk membuat keputusan," katanya dipetik dalam program Ruang Bicara bertajuk "Status 6 MP Bersatu: Akur atau Cabar Keputusan Speaker?" terbitan Bernama TV malam tadi.
Program itu turut menampilkan Dr Wan Rohila Ganti Wan Abdul Ghapar, Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sebagai ahli panel dengan Zahan Rashid sebagai moderator.
Lokman yang juga Ketua Sekretariat Media Perpaduan berkata, perkara yang sama juga menyebabkan UMNO sebelum ini tidak bertindak memecat Ahli Parlimen Sembrong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kerana melanggar arahan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15, sebaliknya hanya digantung keahlian.
"Kalau kita pecat, dia akan jadi wakil rakyat Bebas dan boleh tambah kerusi menjadi 75 bagi Perikatan Nasional, sebab itu kita tidak buat benda ini (pecat)," jelasnya walaupun menyedari bekas pemimpin kanan UMNO itu telah mengkhianati parti.
Jelas Lokman, Ahli-ahli Parlimen mereka tertakluk kepada kepada keputusan parti termasuk dalam usaha mengangkat seorang Perdana Menteri.
"Keputusan itu bergantung kepada ketua parti secara 'en bloc' (keseluruhan), tetapi hari ini bila Bersatu gugur enam ahli, dia ada kelebihan boleh masuk mana-mana parti, mereka boleh sokong sesiapa sahaja," ujarnya.
Kata beliau, sekiranya mengikut kehendak UMNO, mereka mahu Speaker mengosongkan keenam-enam kerusi tersebut kerana mereka yakin sekurang-kurangnya dapat merampas kembali empat kawasan Parlimen.
"(Namun) Jika Speaker ikut kehendak kita kosongkan enam kerusi itu, boleh katakan Speaker menafikan hak keenam-enam ahli parlimen tersebut. Kerana mengikut pindaan Perlembagaan Perkara 49a(2), seseorang ahli parlimen tidak gugur sekiranya mereka dipecat daripada parti," katanya.
Lokman berkata Bersatu juga melakukan kesilapan apabila ketika peringkat awal penggubalan akta tersebut, mereka membantah klausa mengenai Ahli Parlimen boleh digugurkan jika dipecat daripada parti.
"Ini kerana mereka ada niat untuk mencuri Ahli Parlimen daripada parti lain," ujarnya.
Jelas Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia itu, memandangkan terdapat kelemahan pada akta tersebut maka Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri mengambil pendekatan untuk sedia berbincang bagi mengadakan pindaan dan UMNO sendiri mahu ia diperketatkan.
"Anwar cadang kalau ada kelompongan kita baiki dan ketatkan. Adakah PN akan sokong?" katanya.
Sementara itu, Wan Rohila berkata sebenarnya tiada jawapan tuntas terhadap keputusan Speaker meskipun terdapat pihak mendakwa beliau telah terkhilaf malah ada yang lebih ekstrem mengatakan negara sedang mengalami krisis Perlembagaan.
"Apa yang perlu dibahaskan ialah bukan untuk menentukan keputusan itu betul atau tidak, sebaliknya kena faham roh di sebalik Akta Anti Lompat Parti... berpunca pasca pilihan raya umum 2018, selepas 22 bulan kerajaan bertukar dengan mudah dalam tempoh satu malam.
"Tukar kerajaan bukan seperti tukar baju, ia memberikan impak besar kepada ekonomi dan sosial, rakyat akan menjadi takut, pelabur melihat Malaysia negata 'kluk klek' (istilah longat Terengganu bermaksud mudah bertukar pendirian).
"Di sini lahirnya roh apabila pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri ada 'gencatan senjata' memeterai memorandum persefahaman atau CSA (perjanjian keyakinan dan perbekalan) dan gubal Akta Anti Lompat Parti," ujarnya.
Jelas beliau apa yang berlaku sekarang merupakan satu ujian dalam sistem demokrasi berparlimen tentang bagaimana Speaker menafsirkan undang-undang dan pemimpin parti melihat perkara ini dari sudut undang-undang atau bermain di padang politik.
Katanya, rakyat ingin melihat dari segi kestabilan politik tetapi ada pihak menanggapinya mengikut kepentingan politik masing masing.
"Sebab itu apabila berlaku wakil rakyat Rembia memberikan sokongan kepada blok yang lain, kami pemerhati politik hanya tersenyum kerana kita faham...tetapi kita hendak rakyat yang tonton perlu faham roh Akta Anti Lompat Parti dan permainan politik rakyat, jangan masuk permainan politik ini," nasihat beliau.
Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengesahkan parti itu menerima surat daripada Speaker Tan Sri Johari pada lewat petang 9 Julai yang menyatakan tidak berlaku kekosongan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan bagi enam kerusi Parlimen bekas ahli Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Pada 20 Jun lalu, Ketua Whip Bersatu Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis pemakluman kekosongan kerusi di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan membabitkan enam ahli Parlimen berkenaan telah diserah dan diterima pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Keenam-enam wakil rakyat itu diberikan notis gugur keahlian parti pada 12 Jun setelah mereka gagal menjawab surat arahan bertulis Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu untuk melakukan ikrar taat setia kepada parti.
Comentarios