
Serangan udara rejim Israel ke atas rakyat tidak berdosa di Gaza, Palestin telah memakan korban 600 orang dalam 72 jam terakhir.
Menurut Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pahang, Chan Chun Kuang, serangan terbaharu tersebut adalah lanjutan daripada pembunuhan kejam Israel selama setahun sebelum ini yang mengorbankan kira kira 49,000 nyawa penduduk Gaza.
Dalam pada itu, katanya, jumlah mangsa yang cedera telah melebihi 1,000 orang dengan kebanyakan hospital berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan dan tenaga elektrik. Pada masa sama, ujar beliau, satu-satunya hospital khusus untuk pesakit kanser di Gaza turut musnah dalam serangan.

"Tindakan Israel ini jelas merupakan pelanggaran serius terhadap undang-undang antarabangsa dan boleh diklasifikasikan sebagai jenayah pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin.
"Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus membisu apabila kekejaman ini berlaku di hadapan mata kita. Kehancuran di Gaza menjadi bukti nyata keganasan yang tidak boleh diterima oleh mana-mana masyarakat yang menghormati nilai kemanusiaan," kata beliau dalam kenyataan.
Sehubungan itu Chun Kuang berkata, semua rakyat Malaysia tanpa mengira kepercayaan perlu bersatu hati dan bersolidariti untuk rakyat Palestin.
Rakyat Malaysia perlu bersama-sama menyuarakan sokongan terhadap hak asasi manusia dan menolak sebarang bentuk penindasan ke atas penduduk Gaza.
"Saya juga menggesa semua negara, termasuk Pertbuhan Bangsa Bangsa Bersatu dan organisasi antarabangsa lain agar segera mengambil tindakan tegas untuk mendesak Israel menghentikan serangan ini, serta memastikan gencatan senjata segera dikuatkuasakan (dipulihkan).
"Komuniti antarabangsa tidak boleh terus berpeluk tubuh sementara lebih ramai nyawa menjadi korban akibat keganasan ini," katanya yang juga ADUN Semambu.
Beliau berharap keamanan dan keadilan ditegakkan untuk rakyat Palestin.
Untuk rekod, Israel membedil Gaza sejak tiga hari lalu sebaik sahaja rejim menuduh Hamas tidak membaskan tebusan warga Israel yang dipersetujui dalam rundingan gencatan senjata sebelum ini.
Comments